Pembaharuan kontrak penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) bagi tahun depan akan diketahui selewat-lewatnya 29 Mac ini, kata Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir.

Mokhzani berkata beliau optimis peluang SIC untuk terus menganjurkan perlumbaan berprestij itu, namun pihaknya masih berbincang dengan Formula One Management.

"Pada masa ini, kita masih dalam perbincangan dengan pihak Formula One Management dan beberapa peguam berhubung kos berpatutan bagi penganjuran F1 untuk tempoh tiga tahun akan datang.

"Kami juga perlu mengambil kira masalah ekonomi negara berbanding tahun-tahun lepas...pada masa ini kita belum membuat keputusan (kontrak penganjuran F1). Kita perlu pastikan rundingan berjalan lancar.

"Selepas mendapat persetujuan, kita akan serahkan kepada Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Grand Prix F1 Malaysia 2015 di sini pada Rabu.

Perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia 2015 akan berlangsung dari 27 hingga 29 Mac, di Litar Sepang.

Pada majlis tersebut, SIC turut memperkenalkan trofi kejuaraan perlumbaan tersebut yang direka khas oleh pengeluar pewter terkenal negara, Royal Selangor Pewter.

Mokhzani berkata penganjuran F1 dapat melonjakkan ekonomi negara kerana perlumbaan itu bukan tertumpu kepada Litar Sepang sahaja tetapi beberapa pusat perlancongan sekitar Sepang.

"Kita kena ingat, pertama kali kontrak F1 dibincangkan ialah ketika negara sedang mengalami kemelesetan ekonomi pada 1996.

"Apabila kita menganjurkan F1 buat pertama kali pada 1999, keadaan ekonomi tidak begitu baik, tetapi kita tetap menganjurkan kerana kita tahu banyak faedah yang akan diperoleh negara," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Liz Kamaruddin.