Pembangunan atlet di negara ini tidak seharusnya dilakukan secara bermusim, sebaliknya perlu berteraskan kepada latihan jangka panjang yang bersistematik dan komprehensif, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tidak mahu venue yang kita bangunkan ini terbiar sahaja nanti, Kementerian Belia dan Sukan perlu menjadikan stadium ini sebagai tempat yang terus diisi dengan pesta-pesta sukan yang akan melahirkan jaguh-jaguh sukan yang bakal mengharumkan nama negara," kata beliau.

Sehubungan itu, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata beliau telah meminta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin agar dapat merangka latihan yang bersistematik dan berterusan dalam usaha melahirkan lebih banyak tokoh sukan ternama di persada antarabangsa.

Berucap pada majlis penutupan Sukan Malaysia (Sukma) XVIII di Stadium Sarawak di sini malam Ahad, timbalan perdana menteri menyifatkan penganjuran Sukma XVIII di Sarawak sebagai yang paling gemilang dan paling hebat ditampilkan sehingga kini.

Beliau berkata Sukma XVIII merupakan temasya terbaik dalam menjayakan peranan untuk mempereratkan lagi hubungan antara masyarakat berbilang kaum di dalam negara.

Menurutnya selain itu, jumlah rekod baharu yang dilakar dalam temasya sukan ini juga meningkat sekali ganda berbanding yang dicatatkan pada Sukma 2014 di Perlis.

"Kita harap temasya Sukma ini, dan lain-lain acara-acara sukan dalam negara boleh dijadikan sebagai satu produk yang baik buat negara," kata Datuk Seri Ahmad Zahid.

Timbalan perdana menteri kemudiannya menyampaikan hadiah berupa piala dan tunai RM5,000 masing-masing kepada atlet terbaik lelaki Sukma Khairul Hafiz Jantan dan atlet terbaik wanita Nur Aqilah Yusof.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada kontinjen Selangor yang diumumkan sebagai juara Sukma XVIII.