Penunggang basikal profesional Denmark Rolf Soerensen semalam mengaku menyalahgunakan dadah terlarang jenis EPO dan kortison sekitar tahun 1990-an. Pengakuan tersebut menamatkan kemarau penafian beliau sejak setahun yang lalu.

"Saya pernah menjadi pengguna EPO dari masa ke semasa," kata Soerensen, 47.

"Saya telah menggunakan kortison dalam beberapa acara. Tiada alasan lain untuk apa yang saya lakukan selain untuk setanding dengan pelumba lain," katanya.

Soerensen pernah memenangi dua peringkat Tour de France pada tahun 1994 dan 1996 dan beliau bagaimanapun enggan untuk mengenal pasti pelumba lain yang menggunakan dadah untuk meningkatkan prestasi.

"Saya tak mahu libatkan yang lain dan tiada sebarang tuduhan terhadap mereka. Ini bukan cara saya," tambah Soerensen.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah bukan saya seorang sahaja yang melakukannya."

Soerensen merupakan pelumba profesional dari tahun 1986 hingga 2002 dan memenangi perlumbaan Liege-Bastogne-Liege pada tahun 1993 dan Tour of Flanders pada tahun 1997.

Beliau memenangi pingat perak dalam perlumbaan jalan raya pada Sukan Olimpik tahun 1996, tahun pertama pelumba profesional dibenarkan untuk bersaing.

Beliau juga hampir memenangi gelaran juara keseluruhan Piala Dunia dua kali dengan berkedudukan kedua keseluruhan pada tahun 1997 dan ketiga dalam kedua-dua acara pada 1989 dan 1991.

Pada bulan Januari, pelumba Amerika Syarikat Lance Armstrong, 41, mengaku bahawa dia menggunakan dadah peningkat prestasi semasa kemenangan di Tour de France 1999-2005.

Skandal yang menggemparkan dunia lumba basikal.