KUALA LUMPUR: Pemilihan jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak dibuat secara terbuka, melalui kerjasama semua pihak berkepentingan tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana sukan lain.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi berkata keputusan membabitkan jenis dan jumlah sukan dipertanding, diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dianggotai Exco Belia dan Sukan Negeri, selain wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mewakili Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

"Ketika mesyuarat 16 Mac lepas, Jawatankuasa Tertinggi SUKMA memperakui daripada 103 jenis sukan berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, hanya sebahagian mampu dimasukkan bagi memastikan penganjuran berkualiti dan penyediaan khidmat sokongan lojistik, berdasarkan kemampuan penganjur.

"Sehubungan itu, Jawatankuasa Tertinggi Sukma telah menerima rumusan Bengkel Transformasi Sukma yang disertai wakil semua Majlis Sukan Negeri serta Kementerian Pendidikan pada 16 hingga 18 Feb lepas bahawa, hanya 28 jenis sukan dipilih berpandukan kepada empat Justifikasi Asas Pemilihan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan MSN, hari ini sebagai mengulas isu pemilihan jenis sukan di Sukma, yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Kabaddi Malaysia Peter Gopi, yang tular di media sosial ketika ini.

Peter dalam video tersebut, menyatakan kekecewaannya apabila sukan kabbadi didapati tidak tersenarai sebagai sukan terpilih ke temasya itu.

Shapawi berkata pemilihan 28 jenis sukan itu dilakukan berdasarkan empat justifikasi asas iaitu, pertama sukan itu dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik dan atlet negara layak menyertainya secara merit, mengambil kira tiga edisi terakhir temasya (Sukan Olimpik Tokyo 2020, Sukan Olimpik Rio 2016 atau Sukan Olimpik London 2012).

Justifikasi kedua pula ialah sukan dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik dan Sukan Asia / Sukan Komanwel, yang atlet negara mempunyai potensi prestasi meraih pingat, dengan mengambil kira dua edisi terakhir Sukan Asia (Jakarta/Palembang 2018 atau Incheon 2014), serta tiga edisi terakhir Sukan Komanwel (Birmingham 2022, Gold Coast 2018 atau Glasgow 2014).

Bagi justifkasi ketiga pula, sukan tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik tetapi dipertandingkan di Sukan Asia/ Sukan Komanwel dan atlet negara mempunyai potensi meraih pingat mengambil kira dua edisi terakhir Sukan Asia (Jakarta/Palembang 2018 atau Incheon 2014), serta tiga edisi terakhir Sukan Komanwel (Birmingham 2022, Gold Coast 2018 atau Glasgow 2014).

Sementara itu justifikasi keempat pula ialah, sukan popular dan dipelopori sebilangan besar rakyat Malaysia, dipertandingkan di dalam struktur pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) serta mempunyai kemudahan infrastruktur sedia ada di kebanyakan sekolah, premis kerajaan mahupun swasta di seluruh negara.

Beliau berkata daripada keempat-empat justifikasi itu, 28 sukan berkenaan telah dipilih antaranya akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuhraya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan pelayaran.

Selain itu turut tersenarai ialah sukan hoki, judo, ping pong dan taekwondo, karate, lawn bowls, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling dan wushu bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.

"Sarawak sebagai tuan rumah temasya SUKMA 2024 juga, telah diberi peluang bagi menyenaraikan empat sukan pilihan dan bertindak memilih tinju, muay thai, e-sukan dan petanque," katanya.

Bagaimanapun, katanya peluang untuk baki 75 daripada 103 jenis sukan berdaftar dimasukkan ke edisi SUKMA seterusnya masih terbuka, bermula dengan SUKMA 2026

-- BERNAMA