IPOH: Pemilik Perak FC Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd akan mengadakan perbincangan lanjut dengan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) bagi memuktamadkan pengambilalihan pasukan itu esok.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perak FC Khairul Nizam Mahmood berkata perbincangan itu dilihat satu perubahan mendadak berbanding sebelum ini semasa syarikat menuntut bukti dana sebagai syarat awal untuk meneruskan proses pengambilalihan.

"Selepas penilaian terperinci, pengurusan kelab berpuas hati dengan proses transaksi pembelian yang dijangka memberikan hasil menarik kepada IMC selaku pemilik sedia ada.

"Pihak pengurusan turut berpendapat transaksi untuk pengambilalihan ini membabitkan peruntukan tunai pada nilai yang munasabah selain menyokong komitmen Perak FC kepada pemiutang dan pemegang saham," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata perjanjian kekal tertakluk kepada perbincangan antara kedua-dua pihak dan sebarang keputusan akan termeterai sebelum 14 April iaitu tarikh akhir sebelum pemotongan sebanyak enam mata dilaksanakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pada masa sama, Khairul Nizam berkata IMC berhak meneruskan usaha berjumpa dengan pembeli lain yang berpotensi dan melihat cadangan pengambilalihan alternatif daripada pihak lain.

Beliau juga berkata meskipun menyedari ketiadaan bukti dana dalam perjanjian pengambilalihan itu akan menyebabkan keputusan tersebut ditolak oleh MFL namun ia tetap diteruskan berikutan desakan pelbagai pihak termasuk peminat dan bekas pemain.

"Mereka (peminat dan bekas pemain) dilihat sangat yakin dan berasa terjamin dengan kekukuhan kewangan serta kesanggupan bakal pembeli berkenaan," katanya.

Pada 31 Mac lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Muhammad Yunus Zakariah menafikan pihaknya menolak untuk berjumpa dengan mana-mana individu yang berminat membeli Perak FC sebaliknya meminta pembeli menyerahkan dokumen bukti dana terlebih dahulu sebelum sebarang rundingan terperinci boleh dilaksana.

Baru-baru ini, Perak FC yang beraksi dalam saingan Liga Premier 2022 dan sedang terpalit dengan isu pertukaran pemilik, menjadi kelab pertama dihukum pemotongan tiga mata selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan bagi musim 2021.

-- BERNAMA