Pemimpin persatuan sukan perlu komited, amal tatakelola baik

Bernama
September 3, 2023 12:31 MYT
Hannah Yeoh berkata pemimpin itu juga perlu mempunyai masa untuk berkhidmat dan mampu membawa persatuan lebih berdaya saing demi pembangunan sukan. - Gambar fail/KBS
REMBAU: Persatuan sukan perlu dipimpin individu yang mampu memberi komitmen tinggi serta mengamalkan tatakelola yang baik dalam memacu sukan negara.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pemimpin itu juga perlu mempunyai masa untuk berkhidmat dan mampu membawa persatuan lebih berdaya saing demi pembangunan sukan.
Beliau berkata selain itu, penglibatan bekas atlet dalam persatuan sukan juga penting bagi memberikan idea dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
"Sebab itu Majlis Sukan Negara (MSN) mengadakan kursus kepimpinan...tetapi kita sedar persatuan perlukan dana, sebab itu mereka memilih tokoh korporat dan politik.
Saya tidak mahu persatuan sukan digunakan untuk medan berpolitik...kita mahu sukan itu maju," katanya kepada pemberita pada sidang media program perkhemahan keluarga di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab kewajaran bekas atlet memegang jawatan dalam persatuan sukan.
Menurutnya, amat penting dalam mewujudkan keseimbangan dalam persatuan sukan dengan individu berpengalaman, wanita dan lelaki.
-- BERNAMA
#persatuan sukan #kursus kepimpinan #memegang jawatan #bekas atlet