PENGURUS Fulham, Marco Silva, mendakwa pemberian penalti kepada jaringan kemenangan Liverpool memalukan apabila pasukannya tewas buat kali kelapan dalam 10 perlawanan.

Mohamed Salah menjaringkan gol daripada sepakan penalti untuk perlawanan kedua berturut-turut untuk memastikan kemenangan 1-0 selepas Issa Diop menjatuhkan Darwin Nunez.
 
Silva tidak yakin dengan keputusan itu dan berkata: “Cara mereka menjaringkan gol, saya perlu katakan ia amat memalukan.

“Hari ini dalam bola sepak memberikan penalti kepada kekasaran seperti itu, selepas VAR tidak dapat menilainya, ia sesuatu yang sukar untuk difahami.

“Saya tidak akan berkata apa-apa lagi kerana akan menjadi sukar untuk saya dan saya tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah. Sukar untuk memahami penalti itu,” kata Silva.

“Apabila Darwin menyentuh bola dia mula menjatuhkan badang tetapi selepas kaki kirinya menyentuh Issa.

“Issa memberitahu saya bahawa ia jelas bukan penalti. Pengadil membuat kesilapan dan VAR ada untuk melihat semula keputusan itu. Itu jelas bagi saya.”

Kemenangan itu memastikan kemenangan kelima berturut-turut buat Liverpool buat kali pertama sejak April 2022 dan mengekalkan tekanan ke atas pasukan di tangga keempat Manchester United, yang mereka ketinggalan empat mata.

“Sangat berpuas hati dengan sebahagian besar permainan: mengawal separuh masa pertama,” kata pengurus, Jurgen Klopp.

“Lima kemenangan berturut-turut adalah sangat sukar. Rasanya sudah lama kita melakukannya dan saya amat menyukainya.” -  Stadium Astro