SUKAN

Penampilan sulung Yu Jing: Pecah rekod negara, raih gangsa 50m gaya bebas

Bernama 11/12/2025 | 21:15 MYT
Tong Yu Jing memecah rekod kebangsaan dan meraih pingat gangsa dalam acara 50m gaya bebas lelaki di Sukan SEA Thailand 2025 di Kolam Renang, Sports Authority of Thailand, Bangkok, malam tadi. --fotoBERNAMA
BANGKOK: Perenang muda negara Tong Yu Jing mencipta sejarah pada penampilan sulungnya dengan memecahkan rekod negara serta meraih pingat gangsa dalam acara 50 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di Kolam Renang Sports Authority of Thailand, di sini, malam tadi.


Ringkasan AI
  • Tong Yu Jing, perenang muda negara, cipta sejarah dengan memecahkan rekod negara serta meraih pingat gangsa dalam acara 50m gaya bebas lelaki di Sukan SEA Thailand 2025.
  • Tong, berusia 19 tahun, memburu rekod negara sejak awal dan mengungkapkan kegembiraannya selepas mencatat masa 22.48 saat, menewaskan rekod sebelum ini yang dipegang oleh Bryan Leong.
  • Selain Tong, Phee Jinq En turut menyumbang pingat gangsa pertama untuk Malaysia dalam acara 50m kuak dada wanita, menandakan kejayaan dalam Sukan SEA Thailand 2025.


Perenang berusia 19 tahun itu mencatat masa 22.48 saat (s), sekali gus memadam rekod kebangsaan sebelum ini, 22.91s, yang dilakukan oleh Bryan Leong di United Kingdom pada Mei tahun lepas.

"Saya memang memburu rekod negara tetapi tidak menyangka dapat pingat gangsa. Ini Sukan SEA pertama... saya sangat, sangat gembira," katanya kepada pemberita selepas acara akhir.

Pingat emas dimenangi perenang Singapura, Mikkel Lee Jun Jie, dengan catatan 21.92s, manakala rakan senegaranya Teong Tzen Wei meraih perak dengan masa 22.42s.

Dalam acara 4x200 m gaya bebas berganti-ganti lelaki, kuartet kebangsaan yang terdiri daripada Khiew Hoe Yean, Terence Ng, Ananda Lim dan Arvin Shaun Singh meraih perak dengan masa 7:19.50s, sekali gus memecahkan rekod negara, namun terlepas emas kepada Vietnam yang mencatat 7:18.67s.

Kuartet renang negara terdiri daripada Khiew Hoe Yean, Terence Ng, Ananda Lim dan Arvin Shaun Singh menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 7:19.50s. --fotoBERNAMA


Singapura meraih gangsa dengan 7:21.13s.

Rekod kebangsaan baharu ini meleburkan rekod terdahulu 7:19.66s yang dipegang oleh Hoe Yean, Arvin Shaun, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin pada Sukan Universiti Dunia 2025 di Berlin, Jerman, Julai lepas.

Sementara itu, Phee Jinq En meraih pingat gangsa dalam acara 50m kuak dada wanita, memberikan kontinjen renang negara pingat pertama mereka pada Rabu.

-- BERNAMA



#perenang negara #Sukan SEA Thailand #Tong Yu Jing #pingat gangsa