KUALA LUMPUR: Pengurusan Penang FC enggan memanjangkan isu pergaduhan di antara pemain mereka dengan Terengganu FC II (TFC II) ketika aksi Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Rabu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook pada Khamis, pasukan itu mengambil maklum tentang isu kekeliruan dan tindakan agresif dalam situasi tegang yang telah menyebabkan tindakan fizikal ke atas beberapa pemain Penang FC, sehingga menyebabkan kecederaan di muka salah seorang dari mereka.

“Penang FC mengambil maklum bahawa tindakan Adib Raop yang cuba meleraikan insiden yang berlaku telah disalahfahami sebagai satu bentuk provokasi oleh pemain lawan yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius di bahagian hidung akibat tindakan secara fizikal tersebut.

“Tindakan agresif ini juga nampaknya telah menyebabkan beberapa pemain-pemain Penang FC hilang kawalan bagi membalas balik tindakan fizikal tersebut,” ujar kenyataan itu.

Penang FC juga berharap melalui ujian MRI yang akan dijalankan ke atas pemain berkenaan, tidak melibatkan kecederaan yang boleh menyebabkan beliau tidak dapat bermain dalam mana-mana perlawanan penting untuk tempoh yang lama.

Pada masa sama, para pemain Penang FC diharapkan agar lebih bersabar dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri daripada apa-apa kecederaan yang berbangkit daripada tindakan yang kurang bijaksana daripada mana-mana pihak.

“Dalam hal ini, aspek keselamatan luar stadium dalam mana-mana perlawanan juga sentiasa diambil kira dalam situasi provokasi menular melalui media sosial yang boleh mendorong mana-mana individu yang tidak berkenaan mengambil tindakan tidak bijaksana yang membahayakan para pemain dan pegawai pasukan.

“Pihak pengurusan sentiasa menyedari bahaya cyberbully dan viral ke atas maklumat tidak penuh boleh mendedahkan para pemain kepada risiko yang tidak perlu.

"Sehubungan itu, sama-samalah kita berdoa dan berharap kecederaan bahagian hidung yang dialami oleh Adib Raof tidak berpanjangan melalui ujian MRI yang akan dijalankan pada hari ini.

"Kita juga berdoa agar pemain TFC II iaitu Ridzuan Razali juga tidak mengalami kecederaan yang serius akibat insiden berkenaan,” tambah kenyataan itu. 

Dalam pada itu, pihak pengurusan Penang FC juga amat meraikan dan menyokong penuh usaha-usaha FAM dalam menambah baik kualiti sistem pengadilan perlawanan, termasuk perlawanan-perlawanan persahabatan.

Ini termasuk dalam melahirkan pengadil-pengadil yang lebih cekap, berkemahiran tinggi dan berbijaksana, khususnya dalam mengendalikan pelbagai situasi tegang di bawah pengadilan yang berwibawa.