SUKAN

Penang FC mahu buang nasib malang

Bernama 16/09/2025 | 02:50 MYT
Cabaran bermain di bawah tekanan bukan sesuatu yang mudah kerana boleh menyebabkan pemain melakukan lebih banyak kesilapan, termasuk dalam kalangan pemain berpengalaman, kata Wan Rohaimi. - Gambar Bernama
GEORGE TOWN: Kejayaan Penang FC mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Melaka FC 3-0 pada perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Bandaraya, malam tadi menjadi tonik berharga buat skuad Harimau Kumbang untuk bangkit daripada rentetan keputusan mengecewakan dalam saingan liga.

Ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui, moral pasukan sebelum ini terjejas akibat beberapa kekalahan berturut-turut dalam saingan liga, namun kemenangan semalam menyuntik semula keyakinan kepada barisan pemain.

"Memang ada tekanan kerana kita gagal memuaskan pihak pengurusan. Selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari, kami telah melakukan post-mortem besar-besaran dan seluruh pasukan berjanji untuk membuktikan kemampuan sebenar.

"Janji itu ditunaikan malam ini dan kita menewaskan Melaka FC sekali gus diharap menjadi titik kebangkitan Penang FC. Saya juga harap kita dapat buang nasib malang dan terus melangkah ke hadapan," katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata, cabaran bermain di bawah tekanan bukan sesuatu yang mudah kerana boleh menyebabkan pemain melakukan lebih banyak kesilapan, termasuk dalam kalangan pemain berpengalaman.

Justeru, beliau mahu semua pemain mengekalkan konsistensi dan momentum seterusnya memberikan keputusan positif pada perlawanan seterusnya menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 4 Okt depan.

Sementara itu, pengendali Melaka FC, K. Devan berkata, ketiadaan pemain di bahagian serangan akibat kecederaan telah merencatkan persiapan pasukan dan diterjemahkan dengan keputusan malam tadi

Meskipun perancangan asal adalah untuk mendapatkan gol awal tetapi nasib tidak memihak kepada mereka.

"Apabila Penang FC menjaringkan gol dahulu ia memberikan kelebihan tiga mata kepada mereka dan semestinya itu menyukarkan laluan kita," katanya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Penang FC mengesahkan slot ke suku akhir Piala FA menerusi kelebihan agregat 5-0.

-- BERNAMA



#Piala FA #Penang FC #Melaka FC #harimau kumbang