Penantian emas 26 tahun hoki lelaki Pahang berakhir

Bernama
September 23, 2022 22:50 MYT
Pasukan Hoki Pahang memenangi pingat emas selepas menewaskan Johor pada perlawanan akhir Hoki Sukan Malaysia 2022 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Penantian emas skuad hoki lelaki Pahang selama 26 tahun berakhir selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Johor pada final Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.
Muhammad Idris Samad muncul sebagai wira pasukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-59 sekali gus membantu Pahang menidakkan misi Johor yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Jurulatih Pahang Mohd Sufian Mohamad berkata kejayaan itu didedikasikan buat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada skuad hoki negeri itu.
"Ini cetusan idea dari Yang di-Pertuan Agong yang mengilhamkan dan menubuhkan akademi hoki Pahang bermula 2013 dan Tuanku menyasarkan kita merangkul pingat emas di semua peringkat umur termasuk di Sukma.
"Ini pencapaian terbaik bagi negeri Pahang dan mereka sudah membesar (berlatih) dengan saya 10 tahun bersama dan alhamdullilah, saya dapat kekalkan pemain dengan bantuan Majlis Sukan Pahang (MSP) yang ambil mereka, beri pendedahan pada peringkat tertinggi," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Sementara itu, Perak muncul sebagai pemenang pingat gangsa selepas mencatatkan kemenangan 7-4 ke atas Terengganu.
Kali terakhir Pahang membawa pulang emas hoki lelaki ialah pada 1996 ketika menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, manakala bagi edisi 2018 di Perak, Pahang sekadar naib johan selepas tewas di tangan Sabah menerusi penalti shoot-out.
Terdahulu, skuad hoki wanita Pahang yang mempamerkan prestasi memberangsangkan turut merangkul pingat emas apabila menundukkan pasukan Selangor 2-1 di venue sama.
Gangsa menjadi milik skuad wanita Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA
#Sukma MSN #hoki #Pahang