PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, merumuskan kejayaan Harimau Selatan sepanjang musim ini merupakan sesuatu yang luar biasa dan mungkin sukar untuk diulangi.

JDT menyapu bersih kesemua piala utama yang dipertandingkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini, iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia serta Piala kesembilan berturut-turut Liga Super.

Selain itu, mereka juga mencipta sejarah apabila melayakkan diri ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (AFC) sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh kelab gergasi Jepun, Urawa Red Diamonds.

Tunku Ismail turut mengakui kejayaan itu tidak akan datang tanpa keputusan yang tepat pada ketika pasukannya juga dilanda beberapa masalah.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemilik JDT itu berkata: "Yang pertama, saya ingin kongsikan apa yang saya rasa berkenaan kejayaan ini, iaitu ia adalah kejayaan yang paling berharga dan bermakna buat saya sepanjang 10 tahun saya berada dalam industri bola sepak.

"Perancangan kami, program jangka masa panjang kami sudah boleh dapat dilihat hasilnya dan saya betul-betul bersyukur dengan kejayaan ini.

"Bukan sahaja menang liga sembilan tahun berturut-turut, iaitu 'triple' hatrik, bukan sahaja kami dapat ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia, kami juga tidak terkalah dalam saingan liga dan kami juga tidak terkalah dalam kesemua perlawanan domestik sepanjang musim ini.

"Kami menang beberapa piala dari kelompok umur 12 tahun hingga ke pasukan utama.

"Jadi, bagi saya, ini adalah satu kejayaan yang paling berharga dan luar biasa untuk kelab Johor Darul Ta'zim dan saya rasa mungkin tidak dapat diulangi lagi," katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi pasukannya musim ini, Tunku Ismail berkata: "Selepas kami menang Piala Malaysia, kami pulang ke hotel dan saya mengingatkan semua staf dan pemain bahawa kejayaan JDT bukan hanya berdasarkan pelaburan yang kami lakukan dalam kelab, kejayaan JDT bukan sahaja berdasarkan fasiliti yang kami ada atau perancangan sahaja.

"Tetapi kejayaan JDT adalah berdasarkan bagaimana kami menangani situasi dan masalah dalam kelab dan membuat keputusan yang betul, dan bagi saya ia adalah tulang belakang dan tonik kejayaan JDT.

"JDT akan melalui satu tempoh peralihan, di mana akan berlaku perubahan yang besar, akan berlaku pertukaran pemain, akan ada pemain dipinjamkan dan akan ada pemain yang baru.

"Jadi, tempoh peralihan ini akan bermula tahun depan," katanya.