Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Pendedahan FIFA: Rob Friend hanya konsultan, bukan CEO Harimau Malaya?

Astro Awani 18/11/2025 | 09:21 MYT
Friend mendakwa peranannya adalah sebagai perunding skuad kebangsaan yang berpusat di Kanada dan melakukan perjalanan ke Malaysia semasa perlawanan. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR : Status sebenar Rob Friend dalam projek skuad kebangsaan Malaysia menjadi tanda tanya selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan beliau hanyalah seorang konsultan dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.


Ringkasan AI
  • Rob Friend hanya merupakan seorang konsultan dan bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya dalam projek skuad kebangsaan Malaysia, berdasarkan maklumat dari FIFA.
  • Peranan Friend adalah sebagai perunding skuad kebangsaan yang berpusat di Kanada dan melakukan perjalanan ke Malaysia semasa perlawanan, khususnya dalam penambahbaikan kejurulatihan dan staf teknikal.
  • Pendedahan ini mengejutkan peminat bola sepak tempatan kerana sebelum ini diumumkan bahawa Friend memegang jawatan CEO Harimau Malaya.


Menurut alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, Friend yang dipanggil memberi keterangan mengesahkan peranannya sebagai perunding skuad kebangsaan.

Menurut kenyataan itu, beliau memberitahu menetap di Kanada dan hanya hadir ke Malaysia semasa perlawanan yang membabitkan pasukan negara.

"Friend menjelaskan beliau berperanan sebagai perunding kepada FAM, berpusat di Kanada dan melakukan perjalanan ke Malaysia pada hari perlawanan.

"Tugasnya adalah membantu projek berkenaan, khususnya dari segi penambahbaikan kejurulatihan dan staf teknikal," kata dokumen tersebut.

BACA: Bekas pemain Kanada, Rob Friend dilantik selaku CEO pertama Harimau Malaya

BACA: FIFA dedah pegawai FAM terlibat palsukan dokumen pemain warisan

Berdasarkan dokumen FIFA itu, peranan Friend adalah bersifat konsultan dan penasihat teknikal, bukan pengurusan eksekutif penuh terhadap Harimau Malaya.

Menurut dokumen itu juga, Friend mendakwa semua proses berkaitan naturalisasi pemain diuruskan sepenuhnya FAM, manakala beliau hanya membantu prosiding tersebut sejak ia dibuka pada 22 Ogos 2025.

Kata dokumen itu, Friend juga menyatakan tidak mengetahui sebarang salah laku dan tidak terlibat dalam mana-mana proses sebelum tarikh tersebut.

Pendedahan ini mengejutkan peminat bola sepak tempatan yang sebelum ini dimaklumkan bahawa Friend memegang jawatan CEO Harimau Malaya, seperti yang diumumkan FAM awal tahun ini.

Malah, dalam beberapa temubual bersama media, Friend sendiri mengakui menguruskan pasukan negara dengan dibantu bekas CEO Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, sebagai Timbalan CEO skuad kebangsaan.


#FIFA #FAM #harimau Malaya #skandal pemain warisan #Rob Friend