SPORTS
'Penderitaan tanpa penghujung' - Bruno Fernandes gagal selindung kekecewaan
Aksi Bruno Fernandes (kanan) bersama pemain lawan Kieran Trippier (kiri) ketika perlawanan EPL antara Newcastle United dan Manchester United di St James' Park, Newcastle, Britain, 13 Apr 2025. REUTERS
BRUNO Fernandes mengakui Manchester United 'tidak pernah menderita seperti ini' berikutan kekalahan 4-1 kepada Newcastle United.
Skuad kendalian Ruben Amorim tewas di St James' Park di tangan Newcastle, yang meningkatkan harapan bagi kelayakan Liga Juara-Juara apabila melonjak ke tempat keempat.
The Red Devils menyamakan kedudukan pada separuh masa selepas Alejandro Garnacho membatalkan gol pembukaan Sandro Tonali.
Bagaimanapun, Newcastle menemui semangat baru selepas perlawanan bersambung, Harvey Barnes menjaringkan dua gol, manakala Bruno Guimaraes menerkam kesilapan penjaga gol, Altay Bayindir.
14 kekalahan liga United musim ini adalah rekod tertinggi mereka dalam satu kempen Liga Perdana Inggeris, juga tewas 14 perlawanan musim lalu.
Kali terakhir The Red Devils mengalami lebih banyak kekalahan dalam kempen liga utama pada 1989-90 (16 dalam 38 perlawanan).
United jatuh ke tangga ke-14, tujuh mata di belakang separuh teratas, dan Fernandes tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan situasi semasa pasukannya.
“Tidak banyak yang perlu dinilai, kami kalah dalam perlawanan itu,” katanya kepada Sky Sports.
“Dalam separuh masa pertama, kami bermain dengan baik. Separuh masa kedua pula, kami tidak dapat mengekalkan cara kami mahu bermain.
"Kami tahu bahawa ia adalah musim yang sukar, tiada apa yang perlu ditambah kepada itu. Kedudukan kami dalam carta liga bukanlah di mana kelab ini mahukan, tetapi malangnya, kami tidak mendapat keputusan.
"Kami berada di kedudukan ini kerana kami tidak konsisten dalam persembahan kami.
"Mudah untuk mengkritik kerana kelab ini tidak pernah menderita seperti ini, jadi ia perkara biasa. Anda perlu sedar anda bermain untuk United dan kritikan akan ada."
Perhatian United kini beralih kepada perlawanan kedua suku akhir Liga Europa yang menentukan musim menentang Lyon pada hari Khamis.