SUKAN

Penerjun berbakat Nurqayyum sasarkan 20 terbaik di Singapura

Bernama 09/07/2025 | 20:30 MYT
Nurqayyum berkata apa yang paling mengujakan beliau di Singapura kelak ialah peluang untuk belajar daripada penerjun terbaik dunia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura dilihat sebagai titik permulaan kepada perjalanan ke arah mencapai impian yang lebih gemilang bagi penerjun berbakat negara Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim.


Ringkasan AI
  • Nurqayyum Nazmi, penerjun muda berbakat, akan membuat penampilan sulung di Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura dan menyasarkan tempat dalam 20 penerjun terbaik dunia.
  • Beliau teruja untuk belajar daripada jaguh dunia seperti Wang Zongyuan, Osmar Olvera, dan Jack Laugher serta menggunakan muzik hip hop dan sokongan keluarga untuk kekal fokus.
  • Nurqayyum bercita-cita untuk layak ke Sukan Olimpik LA28 dan membawa pulang pingat Olimpik pertama untuk Malaysia dalam acara terjun lelaki.


Atlet berusia 19 tahun itu bukan sahaja berhasrat untuk meraih pengalaman di kejohanan dunia itu, yang berlangsung dari 11 Julai hingga 3 Ogos ini, bahkan beliau juga menyasarkan untuk menempatkan diri dalam senarai 20 penerjun terbaik menerusi acara individu.

Pemenang gangsa Kejohanan Terjun Remaja Dunia 2024 itu dijadualkan bertanding dalam dua acara individu lelaki iaitu 3 meter (m) papan anjal dan 1m papan anjal serta 3m papan anjal seirama bersama Yong Rui Jie yang juga bakal beraksi kali pertama dalam kejohanan itu.

"Saya berasa sangat teruja untuk debut saya di Kejohanan Akuatik Dunia. Pastinya ada rasa gementar sikit tetapi saya letak tepi perasaan itu kerana saya mahu memberikan lebih 100 peratus untuk debut saya," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di sini semalam.

Nurqayyum, yang mula diperkenalkan kepada sukan terjun pada usia enam tahun oleh ibunya Harudillah Halim, berkata apa yang paling mengujakan beliau di Singapura kelak ialah peluang untuk belajar daripada penerjun terbaik dunia.

Atlet kelahiran Kajang itu berkata beliau tidak sabar untuk menonton aksi dan jika berpeluang, bertemu idolanya, yang kesemuanya merupakan pemenang pingat Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Wang Zongyuan dari China, Osmar Olvera Ibarra (Mexico) dan Jack Laugher (Great Britain).

"Saya banyak juga tengok video mereka terjun dan belajar dari situ. Jadi, pastinya saya mahu tengok bagaimana mereka terjun depan mata di Singapura nanti," katanya.

Ditanya mengenai cara beliau menangani tekanan ketika pertandingan, Nurqayyum berkata beliau memiliki cara tersendiri untuk kekal tenang.

Katanya beliau akan mendengar muzik hip hop untuk membangkitkan semangat selain mendapatkan sokongan daripada ibu dan rakan pasukan yang lebih senior.

Nurqayyum berkata memperoleh gangsa pada kejohanan remaja dunia dan berpeluang untuk bertanding pada kejohanan dunia telah mencetuskan inspirasi untuk beliau mencapai sasaran utama iaitu beraksi pada Sukan Olimpik di Los Angeles (LA28).

"Jika boleh saya mahu bawa balik pingat Olimpik sulung untuk Malaysia dalam acara terjun lelaki," katanya.

Setakat ini, pingat Olimpik Malaysia dalam sukan terjun hadir daripada acara wanita termasuk menerusi Datuk Pandelela Rinong, yang meraih perak dalam 10m platform berirama wanita bersama Cheong Jun Hoong pada Rio 2016 dan gangsa dalam 10m platform di London 2012.

Pada November lepas, Nurqayyum mencipta sensasi apabila beliau membawa semula Malaysia ke pentas podium dalam Kejohanan Terjun Remaja Dunia selepas 18 tahun, dengan memenangi pingat gangsa bagi acara 3m papan anjal lelaki (16-18 tahun).

Kali terakhir Malaysia meraih podium adalah pada edisi 2006 di sini apabila Elizabeth Jimie dan Bryan Nickson Lomas masing-masing memperoleh emas dan gangsa.

-- BERNAMA





#Sukan Olimpik Paris 2024 #penerjun negara #Singapura #Kejohanan Akuatik Dunia #Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim