SUKAN

Pengacara TV rebah ketika siaran langsung liputan perlawanan bola sepak England

Agensi 04/12/2025 | 01:00 MYT
Laura Woods rebah ketika siaran langsung liputan pra-perlawanan bola sepak antarabangsa wanita antara England dan Ghana pada Selasa. - Gambar fail AP
SOUTHAMPTON: Pengacara televisyen Britain, Laura Woods, rebah ketika siaran langsung liputan pra-perlawanan bola sepak antarabangsa wanita antara England dan Ghana pada Selasa.

Insiden itu berlaku di Stadium St Mary’s, Southampton apabila Woods dilihat terhuyung ke hadapan di tepi padang sebelum sempat disambut oleh rakan pengacara Ian Wright dan Anita Asante.

Menerusi hantaran di Instagram, Woods mengakui kejadian itu agak janggal dan beliau berasa malu kerana berlaku ketika bersiaran langsung.

“Maaf kerana buat semua risau, saya OK. Paramedik di Saints kata mungkin disebabkan virus, cuma perlu rehat dan hidrasi,” tulisnya.

Stesen penyiar ITV segera memotong siaran kepada iklan sebelum menggantikan Woods dengan pengacara sementara, Katie Shanahan.

“Seperti yang anda perasan, Laura Woods tidak bersama kami kerana beliau kurang sihat. Tapi beliau berada dalam jagaan yang baik, jadi saya ambil alih pada saat akhir,” kata Shanahan.

Beliau kemudian menambah: “Kami ingin meyakinkan anda semua bahawa beliau dalam keadaan baik.”

Tunangan Woods, Adam Collard, turut menulis di X: “Laura OK dan bersama orang yang tepat. Terima kasih atas semua mesej anda.” - Agensi



#pengacara TV rebah #Laura Woods #Laura Woods rebah #Stadium St Mary s