Pengadil Liga Turki ditumbuk

Sinar Harian
Disember 12, 2023 05:36 MYT
Pengadil Halil Umut Meler kelihatan terbaring dalam insiden di hujung perlawanan Super Lig antara MKE Ankaragucu dan Caykur Rizespor di Stadium Eryaman, Ankara, Turki, 11 Dis 2023. - REUTERS
PERLAWANAN dalam saingan Liga Turki, Super Lig ditangguhkan selepas seorang pengadil ditumbuk oleh presiden Ankaragucu, Faruk Koca ketika pasukannya seri 1-1 dengan Rizespor.
Faruk memukul muka Halil Umut Meler selepas perlawanan tersebut dan Persekutuan Bola sepak Turki (TFF) mengecam keras tindakan itu.
“Serangan keji ini bukan sahaja dilakukan terhadap Halil Umut Meler. Hari ini, serangan tidak berperikemanusiaan dan keji ini dibuat terhadap semua pihak berkepentingan bola sepak Turki.
“Prosiding jenayah telah dimulakan terhadap mereka yang bertanggungjawab dengan serangan tidak berperikemanusiaan ini.
“Kelab yang bertanggungjawab, presiden kelab, pengurusnya dan semua individu yang menyerang Halil Umut Meler akan dikenakan hukuman paling berat.
“Dengan keputusan Lembaga Pengarah Persekutuan Bola Sepak Turki, perlawanan di semua liga telah ditangguhkan," kata TFF.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut mengutuk insiden yang berlaku di ibu kota, Ankara.
“Sukan bermaksud keamanan dan persaudaraan. Sukan tidak sesuai dengan keganasan. Kami tidak akan membenarkan keganasan berlaku dalam sukan Turki," katanya. - Sinar Harian
#pengadil kena tumbuk #bola sepak #Liga Turki #Super Lig