[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
SUKAN

Pengalaman 2019 bantu Nurul Huda ketua Kontinjen Sukan SEA negara ke Thailand

Bernama 01/10/2025 | 06:55 MYT
Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA ke-33, Nurul Huda Abdullah (tengah), menjawab pertanyaan pemberita ketika meninjau sesi latihan skuad pingpong kebangsaan di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini hari ini. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas ratu renang negara Nurul Huda Abdullah kini bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA 2025 di Thailand dari 9 hingga 20 Dis ini.

Dengan hanya tinggal kira-kira dua bulan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirai, Nurul Huda percaya pengalaman sebagai Timbalan CDM pada Sukan SEA Filipina 2019 membantunya membuat persediaan untuk melaksanakan tugas di negara jiran yang mendapat gelaran Land of Smiles.

"Pengalaman tersebut di bawah pimpinan ketua kontinjen semasa itu Datuk Megat Zulkarnain Omardin banyak mengajar saya bagaimana hendak mengurus dan memimpin pasukan yang besar.

"Sukan SEA 2025 agak mencabar dari segi logistik, namun saya yakin pengalaman sebagai timbalan CDM, dengan lebih banyak acara sukan dipertandingkan kali ini termasuk acara di Olimpik, saya percaya kontinjen kita akan beraksi lebih baik," katanya kepada pemberita pada lawatan rasminya ke skuad pingpong negara di sini hari ini.

Untuk Sukan SEA 2025, Nurul Huda dibantu tiga timbalan termasuk dua bekas atlet iaitu pelari pecut Nazmizan Muhammad dan hoki Jivan Mohan serta Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh.

Nurul Huda mewakili Malaysia di Sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan dan masih memegang rekod sebagai atlet Malaysia dengan kutipan pingat terbanyak dalam sejarah Sukan SEA dengan 32 pingat, terdiri daripada 22 emas, lapan perak dan dua gangsa pada tiga edisi berturut-turut iaitu 1985, 1987 dan 1989.

Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan pemilihan sebagai CDM Sukan SEA 2025 sebagai penghormatan tidak dijangka.

"Ini tanggungjawab besar yang diamanahkan kepada saya dan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kerana mencalonkan saya sebagai CDM," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah akhir kontinjen negara untuk ke Sukan SEA itu akan diketahui bulan depan.

Selain itu, Nurul Huda yang merupakan Penolong Setiausaha Kehormat Akuatik Malaysia gembira dengan prestasi skuad renang pada Kejohanan Akuatik Asia 2025 di Ahmedabad, India yang meraih lapan pingat iaitu lima perak dan tiga gangsa menerusi acara renang dan terjun setakat ini.

"Ini (Kejohanan Akuatik Asia) merupakan persiapan yang baik untuk kita menilai kedudukan dan mengukur kemampuan berbanding negara lain (Sukan SEA 2025)," katanya.

-- BERNAMA

#nurul huda abdullah #Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 #bekas ratu renang negara #Hannah Yeoh