SUKAN

Penganjuran MotoGP Malaysia pada 2024 bawa pulangan ekonomi RM694 juta - Amir Hamzah

Bernama 06/11/2025 | 10:45 MYT
Penganjuran MotoGP Malaysia 2024 menjana pulangan atas pelaburan (ROI) sekitar 6.3 kali ganda ke atas setiap RM1 yang dilaburkan oleh kerajaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penganjuran MotoGP Malaysia pada 2024 membawa pulangan ekonomi yang signifikan dianggarkan mencecah RM694 juta dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata berdasarkan ini, dijanakan pulangan atas pelaburan (ROI) sekitar 6.3 kali ganda ke atas setiap RM1 yang dilaburkan oleh kerajaan dalam penganjuran MotoGP.

"Dianggarkan juga penganjuran MotoGP menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan. Acara ini menyokong pelancongan kerana melibatkan kehadiran lebih 16 ribu pelawat antarabangsa," katanya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2026, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan mengambil alih operasi Litar Antarabangsa Sepang (Litar F1) sebagai usaha mengembangkan aktiviti permotoran dan mempromosi Malaysia sebagai destinasi permotoran antarabangsa.

Meskipun perlumbaan F1 tidak lagi dianjurkan, beliau berkata Sepang International Circuit (SIC) kini terus menganjurkan kejohanan MotoGP Malaysia.

"Tahap penggunaan litar lumba SIC kini melebihi 75 peratus kapasiti melalui perlumbaan serantau seperti Asia Le Man, GT World Challenge Asia dan Asia Road Racing.

"Kerajaan akan terus melihat bagaimana dapat dioptimumkan lagi fasiliti SIC untuk menjana pulangan tambahan kepada ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA








#motogp malaysia #Amir Hamzah Azizan #Dewan Rakyat #KDNK #pulangan ekonomi