SPORTS
Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tidak akan letak jawatan

Amorim tidak bercadang untuk meninggalkan Manchester United, walaupun kenyataannya selepas kekalahan 2-0 kepada West Ham United pada Ahad lalu menimbulkan spekulasi. - Gambar Reuters
MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan, beliau tidak bercadang untuk meninggalkan kelab itu, walaupun kenyataannya selepas kekalahan 2-0 kepada West Ham United pada Ahad lalu menimbulkan spekulasi.
Dalam kenyataan kepada media sempena hari terbuka menjelang perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham Hotspur minggu depan, Amorim menjelaskan, kenyataan emosinya sebelum ini berpunca daripada rasa tanggungjawab terhadap prestasi hambar pasukan.
“Sejak saya tiba, saya sering tekankan soal standard pasukan. Saya tidak boleh berdiam diri melihat keputusan seperti ini, terutamanya dalam saingan Liga Perdana, tanpa mengambil tanggungjawab,” kata Amorim.
United kini berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris - musim terburuk mereka sejak penyingkiran pada tahun 1974 - selepas mencatatkan 17 kekalahan dalam 36 perlawanan, termasuk sembilan kekalahan di Old Trafford.“Saya ada rancangan yang jelas. Saya faham apa masalah pasukan ini. Saya jauh sekali daripada berputus asa. Apa yang saya maksudkan ialah kami perlu beraksi lebih baik. Jika tidak, pihak pengurusan mungkin akan buat perubahan, dan itu perkara biasa dalam bola sepak,” tambahnya.
Manchester United akan bertemu Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa pada 21 Mei di Bilbao.
Kedua-dua pasukan sedang bergelut dalam liga, dengan Spurs hanya satu anak tangga di bawah United.
Namun, perlawanan akhir itu memberi kedua-dua pasukan peluang keemasan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Ketika ditanya mana lebih bermakna - menjulang trofi atau layak ke Liga Juara-Juara, kata Amorim: “Liga Juara-Juara lebih penting, untuk segalanya. Untuk merancang musim depan, kita sepatutnya berada di situ.
Liga Europa tidak cukup. Semua orang di sini tahu dan rasainya.”
Amorim turut mendedahkan, beliau sanggup membiayai kos tiket untuk membawa keluarga barisan kejurulatihan dan kakitangan sokongan ke Bilbao, selepas dimaklumkan pihak kelab tidak akan menanggung perbelanjaan itu.
“Kami tahu ramai orang akan meninggalkan kelab, banyak perubahan sedang berlaku dalam barisan staf.
Dalam situasi sekarang, kadang-kadang sukar untuk kelab memutuskan bila patut memberi dan bila perlu berjimat,” jelasnya.
“Saya hanya ingin bantu. Selepas itu, kami bincang dengan para pemain, dan mereka juga bersetuju – semua mahu keluarga staf berada di sana.”
Isu ini timbul di tengah-tengah langkah penjimatan kelab termasuk rancangan memotong 150 hingga 200 lagi jawatan, selepas lebih 250 pekerja diberhentikan tahun lalu.
Amorim turut menyatakan kebimbangan mengenai tahap kecergasan beberapa pemain utama menjelang perlawanan akhir, termasuk Leny Yoro, Diogo Dalot, Matthijs de Ligt dan Ayden Heaven yang semuanya tidak akan diturunkan dalam perlawanan liga menentang Chelsea Jumaat ini.
“Saya tidak tahu sama ada mereka sempat pulih. Kami akan cuba,” kata pengendali dari Portugal itu.
“Semua pemain mahu bermain dalam perlawanan akhir itu.”
Amorim sebelum ini pernah beraksi dalam perlawanan akhir Liga Europa bersama Benfica pada 2014, namun, tewas kepada Sevilla menerusi penentuan penalti.
Beliau, bagaimanapun, menyifatkan pengalaman itu tidak banyak membantu dalam persiapan kali ini.
“Saya pernah bermain dalam final, tapi saya kalah dan itu tidak penting,” katanya ringkas. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami