SUKAN

Penyokong Arsenal ‘meroyan’ susulan dua keputusan VAR ketika bertemu United

Sinar Harian 26/01/2026 | 00:50 MYT
Arsenal terpaksa akur tewas tipis 2-3 kepada Manchester United di hadapan penyokong sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi tadi. - Facebook Arsenal
PENYOKONG Arsenal meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggunaan video bantuan pengadil (VAR) selepas dua keputusan penting dilihat memihak kepada Manchester United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates.


Ringkasan AI
  • Penyokong Arsenal tidak puas hati dengan penggunaan VAR dalam perlawanan menentang Manchester United di EPL di Stadium Emirates.
  • Keputusan kontroversi VAR yang memihak kepada United, termasuk gol Dorgu yang disahkan walaupun kemungkinan sentuhan tangan.
  • Kemarahan penyokong Arsenal terus meningkat di media sosial berkenaan ketiadaan sepakan penalti yang sepatutnya diberikan kepada Arsenal akibat tangan Harry Maguire.


Kemuncak kemarahan penyokong tuan rumah tercetus apabila jaringan Patrick Dorgu pada minit ke-50 dibenarkan, diikuti pula dengan keputusan tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal beberapa minit kemudian.

Dorgu, 21, meletakkan United di hadapan menerusi rembatan jarak jauh yang memukau sebelum berlari meraikannya di hadapan penyokong pelawat.

Namun, jaringan itu diperiksa VAR susulan kemungkinan berlaku sentuhan tangan dalam proses gol berkenaan.

Rakaman ulangan menunjukkan Dorgu mengawal hantaran Bruno Fernandes sebelum bola mengenai lengannya dan melepasi Martin Zubimendi, lalu jatuh ke laluan ideal untuk melakukan rembatan.

Pegawai perlawanan di Stockley Park meneliti insiden tersebut, namun pengadil Craig Pawson tidak diarahkan melihat ulang tayang di skrin tepi padang.

Paul Tierney selaku pegawai VAR mengekalkan keputusan asal, sekali gus mengesahkan jaringan itu.

Keputusan berkenaan mencetuskan kemarahan penyokong Arsenal di media sosial.

“Gol yang hebat daripada Dorgu, tetapi kalau pasukan lain, itu pasti dianggap handball,” tulis seorang penyokong.

Seorang lagi menambah: “Sangat berkemungkinan itu sentuhan tangan sebelum dia melepaskan rembatan.”

Arsenal sebelum itu mendahului perlawanan hasil gol sendiri Lisandro Martinez ketika diasak Jurrien Timber, namun gagal memanfaatkan kelebihan berkenaan.

United menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi Bryan Mbeumo yang memanfaatkan kesilapan Zubimendi, sebelum Dorgu meledak gol kedua pelawat selepas separuh masa.

Kontroversi VAR kembali tercetus dengan baki 20 minit permainan apabila percubaan Mikel Merino terkena tangan Harry Maguire di dalam kotak penalti.

Pengadil menjelaskan bahawa tangan pertahanan England itu digunakan untuk menyokong badan ketika terjatuh, justeru tiada penalti diberikan.

Namun, keputusan itu sekali lagi mengundang kemarahan penyokong Arsenal.

“Arsenal benar-benar seperti dinafikan keadilan. Sentuhan tangan jelas oleh Maguire, VAR pula tidak bertindak. Memalukan,” tulis seorang penyokong.

Seorang lagi meluahkan kekeliruan: “Saya sudah tidak faham peraturan handball.

"Bola jelas terkena tangan Maguire dan lengannya tidak rapat ke badan. Jadi sekarang, bola boleh terkena tangan pemain dan tidak dianggap penalti?”

Dua keputusan berkenaan terus menjadi topik perdebatan hangat dalam kalangan penyokong Arsenal, khususnya di media sosial, sejurus tamat perlawanan.





#EPL #Manchester United #Arsenal #media sosial