SUKAN
Penyokong bengang Madueke sertai Arsenal

Perpindahan Madueke boleh mencecah £52 juta (RM296 juta) dengan tambahan berdasarkan prestasi, menjadikannya antara perpindahan paling mahal Arsenal musim ini. - Facebook Arsenal
PEMBELIAN pemain sayap Chelsea, Noni Madueke oleh Arsenal dengan nilai £48 juta (RM273 juta) mencetuskan gelombang bantahan daripada penyokong sendiri yang menganggap pemain berusia 23 tahun itu tidak setimpal dengan nilai yang dibayar.
Lebih 5,000 tandatangan dikumpul menerusi petisyen dalam talian No to Madueke, manakala mural di luar Stadium Emirates turut dicemari dengan slogan Arteta Out, melambangkan ketidakpuasan hati penyokong terhadap keputusan pengurusan kelab.
Madueke menandatangani kontrak lima tahun bersama The Gunners walaupun berdepan tekanan daripada penyokong yang mempersoalkan keperluan pembelian tersebut.
Perpindahan Madueke boleh mencecah £52 juta (RM296 juta) dengan tambahan berdasarkan prestasi, menjadikannya antara perpindahan paling mahal Arsenal musim ini.Meskipun menerima kecaman, pengurus Mikel Arteta tetap mempertahankan keputusan itu dengan menyifatkan Madueke sebagai pemain muda yang memiliki potensi besar.
“Noni adalah salah seorang pemain sayap paling berbakat dalam Liga Perdana. Dia muda, bertenaga dan sudah biasa dengan tahap saingan tertinggi,” kata Arteta.
Musim lalu, Madueke menjaringkan 11 gol dalam semua pertandingan untuk Chelsea dan membantu kelab itu layak ke Liga Juara-Juara serta menjuarai Liga Konferens UEFA.
Sumbangan positifnya untuk The Blues telah melayakkan Madueke disenarai dan diturunkan buat kali pertama bersama skuad senior England.
Madueke menyertai Arsenal selepas kempen Chelsea dalam Piala Kelab Dunia di Amerika Syarikat dan menjadi pemain keempat yang dibawa masuk musim panas ini selepas Martin Zubimendi, Christian Norgaard dan Kepa Arrizabalaga.
Nilai keseluruhan perbelanjaan Arsenal kini mencecah £120 juta (RM684 juta).
Arsenal juga sedang dalam rundingan untuk mendapatkan penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres dan pertahanan Valencia, Cristhian Mosquera yang dijangka melengkapkan perpindahan bernilai £13 juta (RM74.1 juta) dalam masa terdekat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami