Penyokong dinasihat utamakan keselamatan semasa beli tiket final Piala FA - Polis

Bernama
Julai 22, 2019 05:29 MYT
Semua penyokong diharap dapat mematuhi arahan yang diberikan pasukan keselamatan termasuk anggota polis. - Gambar fail
Para penyokong skuad Lang Merah dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri dan penyokong lain semasa membeli tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 di kaunter Stadium Darul Aman di sini, yang akan dijual esok.
Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata penyokong diingatkan agar tidak mengabaikan keselamatan dalam keghairahan untuk mendapatkan tiket sehingga menggunakan kekerasan terhadap penyokong lain dan melanggar arahan yang diberikan oleh anggota keselamatan bertugas.
"Penyokong perlu lebih tertib semasa membeli tiket esok dan saya faham semua orang mahu dapatkan tiket tetapi mungkin ia tidak cukup atas kekangan bilangan tiket yang disediakan, jadi mereka harus sabar dan ikut arahan.
"Hormat hak penyokong yang lain dan jangan sesekali guna kekerasan dan bagi mereka yang langgar undang-undang, kita akan ambil tindakan serius kepada mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau juga berharap semua penyokong dapat mematuhi arahan yang diberikan pasukan keselamatan termasuk anggota polis yang akan berada di sana bagi mengawal dan memastikan ketenteraman orang awam yang berada di situ terjamin.
"Pihak polis akan membuat kawalan ketat dari sudut keselamatan orang awam dan pergerakan kenderaan di kawasan persekitaran stadium esok.
"Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat halangan dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselesaan dan kelancaran proses jualan tiket itu," katanya.
Sebanyak 20,000 tiket akan dijual di kaunter stadium bermula 10.30 pagi hingga habis dan jumlah itu merupakan agihan daripada jumlah 30,000 tiket yang diperuntukkan Malaysian Football League (MFL).
Pada Sabtu ini, pasukan Kedah akan menentang Perak bagi merebut kejuaraan Piala FA 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
#beli tiket #bola sepak #final piala FA #Kedah #PDRM #penyokong #Perak #Piala FA #polis #Skuad Lang Merah #Stadium Darul Aman #Zainuddin Yaacob