Perak FC, Vfl Wolfsburg jalin kerjasama pembangunan bakat muda

Bernama
Oktober 12, 2022 21:32 MYT
Abdul Azim (dua, kiri) berkata, menerusi kerjasama itu, kedua-dua pasukan bersetuju membangunkan kelab termasuk menghantar jurulatih dan pemain ketika pramusim selain menyokong kem latihan. --fotoBERNAMA
IPOH: Kelab bola sepak Perak FC mengorak langkah dalam misi membangunkan bakat muda apabila menjalin kerjasama dengan kelab bola sepak ternama Bundesliga Jerman, Vfl Wolfsburg.
Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) semalam dan berakhir Disember 2023.
Katanya menerusi kerjasama itu, kedua-dua pasukan bersetuju membangunkan kelab termasuk menghantar jurulatih dan pemain ketika pramusim selain menyokong kem latihan.
"Wolfsburg adalah jenama global yang berjaya dan banyak perkara yang dapat dipelajari oleh Perak FC dari kerjasama ini khususnya melibatkan pembangunan peringkat akar umbi yang kita tekankan, ia adalah perkara utama.
"Kita juga mahu mengambil inspirasi dalam pelbagai bidang meliputi hal teknikal, urus tadbir kelab termasuk dalam bidang perniagaan serta perkongsian maklumat melibatkan jualan penaja yang kita boleh belajar dari Wolfsburg," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU antara Perak FC dengan Vfl Wolfsburg dekat sini semalam.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan VfL Wolfsburg Andreas Kruse berkata perkongsian ini amat baik untuk masa depan kelab dan pembangunan sukan bola sepak.
"Kami memilih Perak FC, kerana kelab ini bercita-cita tinggi seperti kami, selain mempunyai banyak persamaan, terutamanya dalam usaha membangunkan bola sepak dari peringkat akar umbi," katanya menambah bahawa Perak FC adalah kelab pertama di Asia Tenggara yang menjalin kerjasama dengan Kelab Bundesliga.
Wolfsburg, yang kini berada di kedudukan ke-13 dalam liga bola sepak Jerman yang sangat kompetitif itu, telah memenangi Bundesliga hanya sekali dalam sejarah mereka, iaitu pada musim 2008-2009 dan menamatkan saingan sebagai naib juara Pada 2014-2015.
-- BERNAMA
#bola sepak #Perak FC #Bundesliga Jerman #VfL Wolfsburg