Perdana Menteri lancar Hari Sukan Negara

Hilmi Malik
Oktober 13, 2018 00:29 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ketika hadir pada Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2018 di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama

Sambutan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan disambut meriah hari ini di KL Sports City, Bukit Jalil yang bermula seawal jam 7 pagi.

Acara pagi tadi dimulakan dengan aktiviti senamrobik dan juga beberapa persembahan pembukaan.
Program seterusnya diteruskan dengan pelepasan aktiviti berbasikal 'fun ride' 10km dan juga 'fun walk' sejauh 3km yang dilepaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman sekitar jam 9 pagi.
Terdahulu, perdana menteri turut menyampaikan ucapan perasmiannya sebelum acara gimik perasmian yang dilaksanakan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan.
Penyerahan bendera rasmi hari sukan negara kemudian diserahkan kepada perdana menteri oleh Syed Saddiq.
Dr Mahathir serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah juga tidak ketinggalan dalam mengambil bahagian dalam acara 'fun walk' bersama ribuan rakyat Malaysia.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program yang berlangsung hari ini.
Antaranya Urban War, Mini Eco Challenge, E Games dan pelbagai lagi aktiviti lain yang bakal disertai ribuan rakyat Malaysia.
Hari Sukan Negara merupakan satu aspirasi kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersukan yang disambut setiap tahun.

#Bukit Jalil #Hari Sukan Negara #Mahathir Mohamad #Siti Hasmah #sukan #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman