Perebutan raja pecut bakal hangatkan hari kedua Sukan SEA Thailand 2025

Kontinjen Malaysia membuka tirai kempen Sukan SEA dengan menyumbang dua emas, dua perak dan lapan gangsa untuk menduduki tempat ketujuh carta pingat setakat 9.30 malam tadi waktu tempatan. - Gambar hiasan/BERNAMA
BANGKOK: Pertandingan olahraga Sukan SEA Thailand 2025 yang membuka tirai hari ini akan dihangatkan dengan perebutan raja pecut bagi acara 100 meter (m) lelaki di Stadium Supachalasai, di sini.
Ringkasan AI
- Perebutan raja pecut 100 meter lelaki di Sukan SEA Thailand 2025 dijangka memuncak antara Puripol Boonson dari tuan rumah dan Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia.
- Pelari pecut muda Malaysia, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, turut menjadi tumpuan dengan catatan terbaik 10.26 saat dan dijangka memberikan saingan sengit.
- Kontinjen Malaysia membuka tirai dengan sumbangan dua emas, dua perak, dan lapan gangsa, sementara Indonesia dan Singapura mendominasi carta pingat sementara.
Kelibat pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee pula diharapkan dapat melakar kejutan pada penampilan sulungnya di pentas temasya dwitahunan itu.
Danish, yang muncul pelari ketiga terpantas, mencatat 10.26s, yang juga catatan peribadi terbaiknya semasa merangkul emas 100m lelaki pada Terbuka Malaysia di Kangar pada Ogos.
Catatan tersebut juga bukan sahaja mengesahkan slot ke Sukan SEA 2025 bagi atlet berusia 18 tahun itu malah melepasi masa dicatatkan pemenang emas edisi lepas di Phnom Penh, Soraoat Dabbang dari Thailand dengan 10.37s.
Selain Danish, harapan Malaysia turut diletakkan kepada pelari senior Jonathan Nyepa yang bakal turun dalam Sukan SEA keenamnya sejak edisi Singapura 2015.
Sementara itu, kontinjen negara membuka tirai kempen Sukan SEA kali ini dengan menyumbang dua emas, dua perak dan lapan gangsa untuk menduduki tempat ketujuh carta pingat setakat 9.30 malam waktu tempatan.
Dua emas tersebut hadir menerusi skuad hoki lelaki lima sebelah (5s) yang membenam Indonesia 7-3 dan kejutan dari trio Seah Jing Ying Seah, Wong Zin dan Yow Mei Yee yang merangkul emas acara poomsae berpasukan wanita recognised untuk sukan taekwondo.
Skuad badminton negara pula kecewa apabila penantian emas acara berpasukan lelaki selama dua dekad berterusan selepas tumbang 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia.
Dalam pada itu, tuan rumah cemerlang di kedudukan teratas carta dengan 18 emas, 12 perak dan sembilan gangsa diikuti Indonesia (5-9-7) di tempat kedua dan Singapura di tempat ketiga (4-4-4).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


