Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
SUKAN

Perjalanan baharu Jun Hao

Sinar Harian 15/10/2025 | 01:30 MYT
Jun Hao akan berdepan Shi Feng pada pusingan pertama Terbuka Denmark Super 750 di Odense, Denmark. - foto Sinar Harian
JURULATIH perseorangan lelaki negara, K Yogendran percaya Leong Jun Hao kini berada di fasa kematangan terbaik dalam kariernya menjelang saingan Terbuka Denmark Super 750 di Fyn Arena Odense, Denmark.

Pemain perseorangan negara itu dijangka berdepan ujian getir apabila diundi menentang pemain dari China, Li Shi Feng pada pusingan pertama lawan yang pernah menewaskannya tujuh kali dalam lapan pertemuan terdahulu.

Bagaimanapun, Yogendran optimis Jun Hao mampu menampilkan persembahan bertenaga seperti yang ditunjukkan sebelum ini, termasuk ketika menewaskan Shi Feng pada pusingan pertama Terbuka India Super 750 awal tahun ini.

“Rekod pertemuan memang tidak memihak kepada Jun Hao, tetapi kita tahu dia biasanya bermain baik pada perlawanan pertama.

“Kemenangan di Terbuka India membuktikan dia boleh menewaskan Shi Feng jika fokus dan tenang. Menang kalah itu nombor dua yang penting kini, saya lihat dia semakin matang dan konsisten di gelanggang,” kata Yogendran.

Sejak menggantikan Lee Zii Jia sebagai perseorangan nombor satu negara pada Jun lalu, Jun Hao mengakui berdepan tekanan tinggi sesuatu yang turut diakui Yogendran sedikit menjejaskan prestasi anak didiknya pada awalnya.

“Ya, dia ada rasa tertekan bila mula-mula menjadi pemain nombor satu negara. Minggu pertama itu jelas, dia cepat marah dan meletakkan harapan tinggi pada diri sendiri.

“Tapi sekarang dia sudah lebih stabil dan sudah tahu apa yang mahu dicapai. Sasaran kami untuk bantu di menembusi kelompok 16 terbaik dunia selepas ini.

“Dia sudah tahu hala tuju. Sekarang bukan sekadar soal keputusan menang atau kalah, tetapi bagaimana dia mengekalkan konsistensi. Itu tanda kematangan,” katanya.

Yogendran turut melihat peningkatan dalam permainan Jun Hao dalam tiga siri jelajah termasuk ketika menewaskan Zii Jia kali pertama dalam empat pertemuan di suku akhir Terbuka Hong Kong.

“Perkembangannya sangat positif. Dia semakin sedar di mana kelemahan dan sudah belajar cara mengurus tekanan. Minggu ini saya boleh kata, dia berlatih dalam keadaan paling baik sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kualiti latihannya sangat bagus, dia akan tampil lebih mantap,” katanya. - Sinar Harian






#Leong Jun Hao #Terbuka Denmark #K Yogendran #Li Shi Feng