Perkahwinan beri suntikan semangat baharu buat Muhammad Ziyad

Bernama
November 20, 2016 10:55 MYT
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (kiri) bersama isteri, Nori Tun Abdullah (kanan) bergambar bersama dengan pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 Muhammad Ziyad Zolkefli bersama isterinya. - Foto Bernama
Perkahwinan memberi suntikan semangat baharu buat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Muhammad Ziyad Zolkefli untuk lebih cemerlang pada masa akan datang.
Muhammad Ziyad ketika ditemui berkata kehadiran isterinya, Zafirah Md Nasir, 26, dapat menambahkan semangatnya terus melakar kejayaan dengan mencipta rekod baharu dalam acara lontar peluru bagi kategori F20.
"Sebagai suami, tanggungjawab lebih besar dan tumpuan perlu diberikan kepada keluarga dan karier. Saya perlu bekerja keras dan melakar kejayaan lebih cemerlang selepas ini untuk keluarga saya.
"Terima kasih kepada keluarga bagi kedua-dua belah pihak menjayakan majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan kami," katanya kepada pemberita pada resepsi persandingannya di Dewan Bunga Raya, Kompleks Campbell di sini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan isteri Nori Tun Abdullah serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Zafirah berkata beliau mahu Muhammad Ziyad mengekalkan prestasi dalam sukan olahraga dan memberikan tumpuan pada latihan dan karier sebagai atlet negara.
"Saya sentiasa menyokong karier beliau sebagai atlet negara dan berharap Ziyad terus mencipta kejayaan buat negara.
"Kejayaan di Rio merupakan permulaan dan saya yakin beliau boleh melakar kejayaan lebih baik," kata Zafirah.
Persandingan mereka turut dimeriahkan dengan kehadiran Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara pecut T36 (cerebral palsy), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) yang turut meraih pingat emas di Rio.
Pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik, Siti Noor Radiah Ismail bagi acara lompat jauh T20 turut hadir bersama jurulatih. -- Bernama
#Khairy Jamaluddin #Muhammad Ziyad Zolkefli #Sukan Paralimpik Rio de Janeiro