Dua perlawanan akan berlangsung malam ini dengan aksi tumpuan bakal terarah pertemuan pendahulu liga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

ATM yang bakal beraksi selaku tuan rumah kepada Pahang pastinya tekad memenangi perlawanan tersebut.

Selain mahu meneruskan pendahuluan di puncak liga, skuad tentera juga dilihat cuba mencari pengubat duka terbaik susulan kekalahan kepada pasukan Terengganu pada aksi terdahulu.

Sandaran sekali lagi bakal diletakkan kepada penyerang import pengalaman Marlon Alex James untuk merobek gawang lawan.

Bagaimanapun, ATM bakal merintis aksi sukar apabila skuad Tok Gajah mula mempamer kebangkitan.

Aksi garang anak buah Dollah Salleh ketika menjinakkan pasukan Piala Fam tentera darat dalam saingan Piala FA tempoh hari dilihat sebagai satu amaran untuk pasukan ATM lebih berwaspada.

Malah, ia juga sebagai suntikan semangat bagi meraih keputusan positif pada perhitungan getir itu nanti.

Dollah sekali lagi bakal menagih kudrat pemain tempatan dengan pemain sayap kebangsaan, Azamudin Akil jadi taruhan utama untuk memecahkan banteng pertahanan lawan.

Satu lagi perlawanan akan menemukan Kelantan dan Perak di Stadium Sultan Muhamad keempat di Kota Baharu.

The Red Warriors dilihat sudah mula menemui momentum dan keserasian terbaik bagi kombinasi diantara pemain-pemainnya.

Paling menyerlah buat ketika ini, awang import Keita Mandjou yang dilihat semakin berbahaya di depan gol.

Lantaran itu, skuad seladang perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada Kelantan bagi pertemuan kali ini.

Jurulatih Perak, Azraai Khor Abdullah dilaporkan akan membariskan barisan terkuat termasuk pemain tengah berpengalaman, Shahrul Nizam Mustapa yang sebelum ini diketepikan akibat kecederaan yang dialaminya.

Perak kini di tangga kelapan liga, satu tangga ketinggalan dibelakang Kelantan dengan kedua-dua pasukan mengumpul 10 mata.