SUKAN
Perlawanan esok uji kombinasi baharu - Ketua Jurulatih Palestin

Ketua Jurulatih Palestin Ehab Abu Jazar (kiri) dan pemain Palestin Oday Kharoub bercakap pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: Palestin menyifatkan perlawanan persahabatan menentang Malaysia esok sebagai platform penting untuk menguji kombinasi baharu dalam persediaan menghadapi Piala Asia dan Piala Dunia.
Ringkasan AI
- Jurulatih Ehab Abu Jazar anggap perlawanan persahabatan menentang Malaysia penting untuk menilai sembilan hingga 10 pemain baharu menjelang Piala Asia dan Piala Dunia.
- Beberapa tonggak Palestin tidak dapat beraksi kerana kecederaan, namun jurulatih yakin kombinasi pemain berpengalaman dan muka baharu mampu beri saingan.
- Palestin akui kekuatan Malaysia yang kini lebih agresif dengan kehadiran pemain naturalisasi, menjadikan perlawanan esok ujian sengit.
"Kita kini pada awal musim, jadi secara jujurnya ada beberapa cabaran. Tempoh persediaan terlalu pendek atau terlalu panjang dan banyak pemain belum turun bermain dalam sebulan. Sebab itu ada kecederaan otot.
"Para pemain esok bukanlah semuanya baharu memandangkan ada sebahagian telah bersama pasukan kebangsaan sejak 2013 manakala yang lain pemain baharu. Jadi ia kombinasi pemain berpengalaman dan muka baharu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Antara pemain yang tidak dapat beraksi esok ialah Mohammed Saleh, Assad Al Hamlawi, Mohamad Hebous, Amid Mahajna, Musab Al Batat dan Muath Barhous.
Mengenai Malaysia, Ehab mengakui kemajuan berterusan Harimau Malaya yang dirangsang oleh kehadiran pemain naturalisasi dan mengakui rentak serta gaya permainan mereka yang agresif.
"Malaysia adalah pasukan yang kuat. Walaupun mereka juga ketiadaan dua atau tiga pemain, mereka sudah bersedia untuk perlawanan ini. Dan kami tahu penyokong tempatan akan memberikan sokongan penuh, yang akan menjadikan suasana lebih menarik," katanya.
Sementara itu, pemain tengah Oday Kharoub, yang sebelum ini beraksi dalam liga Malaysia sebagai Kapten Kelantan Darul Naim (KDN) FC, berkata beliau menghormati semua pemain Malaysia termasuk pemain naturalisasi.
"Bagi saya, Malaysia telah banyak berubah sejak pertemuan terakhir kami, terutamanya dengan kemasukan pemain naturalisasi dan asing," katanya.
Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Singapura 2-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional di Bukit Jalil Khamis lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami