Perlumbaan sulung F1 Arab Saudi melabuhkan tirai

Bernama
Disember 6, 2021 07:32 MYT
Saingan pusingan ke-21 itu dilangsungkan dalam program "Kualiti Hidup" negara itu dengan penyertaan 20 pelumba daripada 10 pasukan. - AP Photo/Amr Nabil
RIYADH: Pemandu Mercedes Lewis Hamilton menjuarai Grand Prix Formula Satu (F1) Arab Saudi 2021 pada Ahad selepas menumpaskan pencabarnya terdekatnya dalam memburu gelaran dunia, Max Verstappen.
Hamilton memulakan saingan di petak depan di Jeddah dengan Verstappen yang mengemudi jentera Red Bull, dari petak ketiga. Kedua-dua pelumba saling memintas tetapi akhirnya pemandu Mercedes berjaya mengekalkan kedudukan di depan, dan Verstappen akur di tempat kedua.
Dengan kemenangan pemandu Britain itu bermakna pemandu Mercedes dan Red Bull berkongsi mata teratas senarai kejuaraan dunia menjelang kancah saingan terakhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor Xinhua.
Saingan pusingan ke-21 itu dilangsungkan dalam program "Kualiti Hidup" negara itu dengan penyertaan 20 pelumba daripada 10 pasukan.
Litar Jeddah dianggap sebagai medan perlumbaaan jalan raya terpantas di dunia dengan purata kelajuan 252 kilometer (km) sejam dengan kelajuan maksimun 322 km sejam pada selekoh terakhir. Ia mengandungi lapan tempat duduk penonton berbumbung, membolehkan peminat sukan itu menyaksikan hampir keseluruhan litar dengan lebih baik.
Bagaimanapun, litar itu dikiritik oleh sesetengah pemandu kerana dianggap bahaya kerana kurang kawasan lapang ketika membelok selain laluan sempit yang menyaksikan beberapa nahas sewaktu perlumbaan pada Ahad.
Dianjurkan oleh Kementerian Sukan dengan kerjasama Persekutuan Automobil dan Motosikal Arab Saudi, Grand Prix Formula One Saudi dianjurkan dengan kontrak selama 15 tahun.
-- BERNAMA
#Grand Prix #Formula 1 #Arab Saudi #Mercedes #Red Bull