SPORTS
Pernah dibuli, anak Kelantan kini bangga bersama Juventus

Zulhilmi (dua dari kanan) bersama kru The Journey Of The World Best Freestylers. - Foto: Zulhilmi
KOTA BHARU: Tiada siapa menyangka, seorang kanak-kanak yang pernah dibuli dan dipukul di sekolah suatu masa dulu kini sudah menjejakkan kaki ke Juventus Creator Lab selepas mengharumkan negara dalam beberapa pertandingan dunia sebelum ini.
Pemain bola sepak gaya bebas atau freestyler kelahiran Kelantan, Zulhilmi Zuaswa, 22, kini boleh berbangga selepas terpilih bersama tiga lagi atlet luar biasa dunia muncul dalam dokumentari The Journey Of The World Best Freestylers.
Menurut Zulhilmi, dokumentari baharu oleh Juventus Creator Lab dengan kerjasama @theWFFA itu turut disertai Caitlyn Schrepfer, Yoanna Dallier dan Sebastian 'Machine' Pena untuk meneroka dunia bola sepak gaya bebas melalui kisah mereka mengejar impian menjadi yang terbaik.
"Saya tidak pernah menyangka kini gembira bersama rakan-rakan gaya bebas yang lain kerana suatu ketika hanya keseorangan di sekolah dan selalu dibuli."Mereka (pembuli) memukul, meminta wang saya dan menarik saya ke dalam tandas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Zulhilmi yang juga pemain bola sepak gaya bebas terbaik Asia Tenggara mahu melupakan perkara itu dan mencipta kenangan bersama rakan-rakan bola sepak gaya bebas yang lain.
Jelasnya, dokumentari yang memulakan penggambaran pada 12 November tahun lalu disiarkan melalui platform YouTube.
Anak bongsu tiga beradik itu juga tidak pernah berkecil hati apabila ramai yang memandang negatif minatnya itu kerana sukan berkenaan merupakan perkara baharu di Malaysia.
"Pada waktu itu saya lihat gaya bebas boleh pergi jauh walaupun ada yang menganggap ia tiada hala tuju tetapi sekarang saya sudah berada di Juventus," katanya.
Zulhilmi juga boleh berbangga kerana ramai yang kini bersaing untuk bersama di Juventus namun beliau antara individu yang terpilih.
"Alhamdulillah berada di Juventus merupakan perkara yang sangat 'besar' dalam diri saya kerana belum ada pemain bola sepak gaya bebas dari Asia Tenggara yang berjaya ke peringkat dunia," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami