SUKAN

Persatuan sukan diminta selesai pertikaian secara dalaman sebelum bawa ke JKPS

Bernama 17/06/2025 | 14:15 MYT
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta mana-mana persatuan sukan kebangsaan menyelesaikan sebarang pertikaian secara dalaman terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JKPS). - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meminta mana-mana persatuan sukan kebangsaan menyelesaikan sebarang pertikaian secara dalaman terlebih dahulu sebelum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pertikaian Sukan (JKPS).

Beliau berkata daripada 75 kes diterima oleh JKPS tahun lepas dengan kebanyakan daripadanya boleh diselesaikan di peringkat dalaman.

"Jika mengambil peranan sebagai pentadbir sukan dalam persatuan, kamu perlu lebih peka dan memahami proses supaya jangan ada satu ahli jawatankuasa pergi Pejabat Pesuruhjaya Sukan, satu datang ke pejabat Menteri, satu AJK pergi jumpa Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan.

"Ini situasi berulang-ulang yang sedang kita hadapi, apabila ramai ahli jawatankuasa tidak tahu hala tuju," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hannah berkata JKPS yang ditubuhkan pada 2023 mencadangkan Majlis Sukan Negara (MSN) menubuhkan pusat sehenti bagi membantu atlet mendapatkan penjelasan lanjut mengenai sebarang isu pertikaian sukan.

Beliau berkata bekas Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Low Beng Choo kekal mempengerusikan JKPS bagi tempoh dua tahun bermula 1 Mei hingga 30 April 2027.

Selain itu, JKPS turut mengekalkan peguam Prof Dr Jady@Zaidi Hassim dan melantik tiga ahli baharu iaitu peguam Datuk Rajasekaran Murugiah serta bekas atlet berbasikal dan triathlon Kimbeley Yap-Chelliah dan bekas jaguh ekuestrian negara Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada tiga bekas ahli JKPS iaitu Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill, bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Prof Datuk Dr S Shamala dan bekas pemain skuasy kebangsaan Sharon Wee atas khidmat serta komitmen mereka sepanjang tempoh terdahulu.

Sementara itu, Low berkata hanya 14 daripada 75 kes diterima dirujuk kepada mereka dan dua daripadanya telah menjalani proses pendengaran.

Beliau berkata dua kes berkenaan melibatkan pemilihan atlet ke kejohanan sukan serta layanan diterima atlet ketika menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

Antara tugas JKPS adalah mendengar dan memberi pandangan terhadap pertikaian dalaman badan sukan yang dirujuk kepadanya, menyelesaikan aduan pertikaian dirujuk oleh mana-mana anggota sesuatu badan sukan dan mengenal pasti serta mengesyorkan langkah dan tindakan bagi menyelesaikan pertikaian dalam badan sukan.

-- BERNAMA



#persatuan sukan #Hannah Yeoh #JKPS #pertikaian secara dalaman