Penganjur Olimpik Tokyo 2020 bekerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan pertubuhan lain yang berkaitan untuk memastikan temasya sukan itu dapat dianjurkan, meskipun dunia kini dilanda wabak COVID-19, memetik jurucakap IOC lapor agensi berita Xinhua.

Sebelum ini, bekas presiden IOC Dick Pound dalam temu bual dengan Associated Press berkata pihak penganjur diberi tempoh tiga bulan untuk menentukan sama ada kejohanan tersebut akan dapat diadakan atau sebaliknya dan terdapat spekulasi kemungkinan ia dibatalkan.

"IOC mengulangi bahawa persiapan untuk Sukan Olimpik Tokyo masih berjalan seperti yang dirancang," kata jurucakap itu.

Katanya, penting untuk membendung penularan penyakit itu dan yakin dengan usaha pihak berkuasa berkaitan.

"Penganjur Tokyo 2020 akan terus bekerjasama dengan semua organisasi berkaitan untuk memantau dengan teliti mengenai sebarang kejadian penyakit berjangkit dan akan mengkaji semua tindakan yang diperlukan," kata jurucakap tersebut.

BACA: COVID-19: PM Jepun gesa semua acara sukan dan kebudayaan dihentikan untuk dua minggu

VIDEO: Malaysia dijangka hantar kontinjen lebih kecil ke Sukan Olimpik Tokyo 2020

Terdahulu, jurucakap kerajaan Jepun, Yoshihide Suga pada Rabu berkata kenyataan Pound itu bukan mewakili IOC dan menegaskan persiapan untuk penganjuran Olimpik Tokyo 2020 berjalan seperti biasa.

Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijadual berlangsung 24 Julai hingga 9 Ogos manakala Paralimpik pula dari 25 Ogos hingga 6 Sept.

-- BERNAMA