Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
SUKAN

Persekutuan Sukan Asia Tenggara sahkan Kemboja tarik diri Sukan SEA

Bernama 10/12/2025 | 10:10 MYT
Kontinjen Kemboja memaklumkan kepada penganjur awal pagi Rabu mengenai keputusan untuk menarik diri daripada temasya itu susulan kebimbangan keselamatan atletnya. - Gambar/ Bernama
BANGKOK: Persekutuan Sukan Asia Tenggara mengesahkan penarikan diri Kemboja daripada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-33 yang sedang berlangsung di Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chaiyapak Siriwat berkata Kontinjen Kemboja memaklumkan kepada penganjur awal pagi Rabu mengenai keputusan untuk menarik diri daripada temasya itu susulan kebimbangan keselamatan atletnya di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan.

Beliau berkata 30 atlet Kemboja yang mengambil bahagian dalam upacara pembukaan pada Selasa berterima kasih atas sambutan mesra Thailand, namun keadaan keselamatan yang merosot dengan pantas di kawasan sempadan menyebabkan pegawai Kemboja mengarahkan kontinjen kembali ke negara mereka.

"Pada kira-kira pukul 2 pagi Rabu (10 Dis), Vath Chamroeun, Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja, memaklumkan kepada kami bahawa mereka perlu menarik diri berikutan amaran daripada pihak berkuasa tertinggi Kemboja mengenai keadaan yang semakin meruncing di kawasan sempadan serta kebimbangan bahawa situasi mungkin bertambah buruk," kata Chaiyapak kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata sepucuk surat rasmi penarikan diri telah dikemukakan kepada pihak Thailand pada Rabu.

Chaiyapak berkata Chamroeun turut memohon maaf atas keadaan itu dan mengesahkan bahawa semua atlet Kemboja akan pulang segera.

Sementara itu, beliau berkata jadual pertandingan setakat ini hanya melibatkan sukan karate, kerana terdapat dua acara yang jumlah penyertaan atletnya tidak lagi memenuhi syarat peraturan.

"Bagaimanapun, Sukan SEA kali ini mempunyai panel timbang tara untuk meneliti kes seperti itu sebelum membuat syor kepada Majlis Sukan SEA. Dengan hanya tiga pasukan kekal dalam acara berkenaan, pertandingan masih boleh diteruskan, dengan dua pingat - emas dan perak - akan dianugerahkan," katanya.

Kemboja pada awalnya mengesahkan penyertaan dalam 21 jenis sukan dengan lebih 300 atlet, namun mengurangkannya kepada 13 sukan pada akhir November susulan ketegangan berterusan di sempadan.

Sukan SEA 2025, yang dirasmikan oleh Raja Maha Vajiralongkorn pada Selasa, menampilkan 50 sukan rasmi dengan penyertaan kira-kira 12,506 atlet dari 11 negara, termasuk Kemboja.

Temasya dwitahunan itu, yang dianjurkan bersama Bangkok dan Chonburi berlangsung sehingga 20 Dis, manakala Sukan Para ASEAN (APG) 2025 dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 26 Jan 2026.

-- BERNAMA


#Sukan SEA #Kemboja #tarik diri #konflik Thailand-Kemboja