Pestabola Merdeka: Harimau Malaya ke final selepas baham India 4-2
Bernama
Oktober 13, 2023 23:56 MYT
Oktober 13, 2023 23:56 MYT
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya berjaya mempamerkan taring sebenar dan hanya selangkah daripada merangkul gelaran ke-13 Pestabola Merdeka dengan mengejutkan India, 4-2, dalam aksi edisi 2023 di di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Harimau Malaya, yang menghuni ranking ke-134 dunia jelas dapat menyaingi kekuatan India (102) dengan menyajikan permainan menghiburkan dalam perlawanan berlangsung di atas permukaan padang baharu 'Zeon Zoysia'.
Skuad bimbingan Kim Pan Gon akan mengharungi aksi final di venue sama, Selasa ini, menentang Tajikistan yang menerima 'bye bagi perlawanan pertama susulan penarikan diri Palestin pada saat akhir.
Pada perlawanan malam ini di hadapan 46,150 penonton menyaksikan pasukan pelawat, The Blue Tigers, terlebih dahulu melaungkan amaran awal dengan percubaan pemain tengah, Naorem Mahesh Singh singgah di palang gol pada minit kedua.
Tidak lama selepas itu, Dion Cools menggamatkan gelanggang keramat Harimau Malaya apabila tonggak pertahanan kacukan Malaysia-Belgiumitu menyambut tandukan Nooa Lane, sebelum melayangkan badannya dan melepaskan sepakan untuk meletakkan mereka di depan pada minit keenam.
Kelebihan dimiliki Malaysia hanya bertahan tujuh minit apabila hasil serangan balas India menyaksikan mereka menyamakan kedudukan menerusi sepakan voli, Naorem, yang gagal ditangkas kemas penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
- BERNAMA