KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa supaya segera menetapkan tarikh perbicaraan di Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) berhubung isu tunggakan gaji 17 pemain pasukan Liga Super, Melaka United FC.

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah membangkitkan perkara tersebut kepada FAM namun sehingga kini mereka masih menunggu maklum balas daripada badan induk bola sepak negara itu.

"PFAM telah mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada Melaka United bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini dibawa ke peringkat FAM.

"PFAM mengambil serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh pemain dan akan membantu untuk membela hak pemain dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Pada 8 Ogos lepas, PFAM menerima laporan daripada pemain Melaka United terbabit mengenai isu tunggakan gaji yang sedang dihadapi mereka bagi bulan Jun dan Julai serta baki bayaran bagi Januari 2022.

"Setakat semalam, jumlah tunggakan gaji mencecah tiga bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi bulan Ogos," menurut kenyataan itu.

Justeru, PFAM menasihati pihak kelab agar sentiasa menghormati obligasi yang dipersetujui dalam kontrak demi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Melaka United terpalit dengan isu tunggakan gaji pemain selepas masalah sama turut berlaku pada musim sebelumnya.

Melaka United berada di tangga kesembilan Liga Super 2022 dengan mengumpul 17 mata selepas mengharungi 16 perlawanan setakat ini.

-- BERNAMA