KUALA LUMPUR CITY 3 ATK MOHUN BAGAN 1

Dengan melalui penerbangan panjang, beraksi di depan ribuan penyokong pasukan lawan dan tanpa penguasaan bola, ia tidak menjadi penghalang untuk Kuala Lumpur City FC mara ke final antara zon, Piala AFC 2022 hasil kemenangan 3-1 ke atas kelab India, ATK Mohun Bagan, di Kolkata malam tadi.

KL City diasak hebat sejak wisel permulaan aksi di Stadium Salt Lake itu tetapi berhasil mengekalkan kedudukan tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Di sebalik tekanan hebat pihak lawan, kapten The City Boys, Paulo Josue, mempamerkan aksi penuh gemilang bagi memastikan kemenangan pasukannya dalam 45 minit kedua.

Pada ketika Mohun Bagan sedang galak memburu gol pembukaan, Josue hanya memerlukan satu percubaan tepat untuk memecahkan kebuntuan pada minit ke-60 selepas pertahanan lawan, Florentin Pogba -- yang merupakan abang kepada bintang Perancis, Paul Pogba -- gagal mengeluarkan bola dengan kemas sebelum menemui Akram Mahinan, yang melakukan tolakan lembut untuk disudahkan Josue dengan voli kencang dari luar kawasan penalti.

Usaha yang cukup perit dilakukan Mohun Bagan dalam memburu gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-90 apabila Fardin Ali Molla memanfaatkan situasi kelam-kabut di depan gawang KL City untuk menewaskan penjaga gol, Azri Abdul Ghani.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka bertahan tidak sampai seminit apabila Josue sekali lagi membawa watak adi wira buat segenap Warga Kota, kali ini menerusi sepakan percuma menariknya yang tepat menemui kepala Fakrul Aiman Sidid untuk pemain sayap veteran itu melakukan tandukan licik yang memastikan jaringan kedua pasukannya.

Ketika Mohun Bagan sekali lagi merencanakan kebangkitan susulan satu peluang sepakan sudut, Azri bijak menghidu kedudukan Romel Morales sebelum pemain dari Colombia itu menutup malam penuh gemilang KL City dengan gol ketiga.

Skuad bimbingan Bojan Hodak itu kini akan mencongak perhitungan dengan kelab Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh, di laman lawan pada 5 Oktober depan.

Pemenang dalam perlawanan itu akan bertemu juara Zon Asia Barat bagi penentuan gelaran juara Piala AFC 2022.