Piala AFC: Kedah kandas dalam separuh akhir Zon ASEAN

Astro Arena
Ogos 9, 2022 22:45 MYT
Antara aksi menarik dalam perlawanan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 antara Kedah Darul Aman FC dan PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali malam tadi. - Foto Astro ARENA/Kedah Darul Aman FC
PERJALANAN Kedah Darul Aman FC dalam Piala AFC 2022 tamat di peringkat separuh akhir Zon ASEAN selepas tewas 1-2 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar, di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali malam tadi.
Gol daripada Yakob Sayuri dan Yuran Fernandez dalam babak berbeza sudah cukup untuk membawa Makassar ke final sambil Kedah cuba merencanakan kebangkitan pada penghujung perlawanan menerusi gol Fayadh Zulkifli Amin.
Makassar berada di depan pada minit ke-31 apabila Sayuri bijak menghidu lintangan rendah Rizky Pratama untuk menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim.
Fernandez kemudian menambah derita Lang Merah dalam babak kedua dengan menanduk masuk bola daripada sepakan penjuru pada minit ke-55 untuk Makassar selesa mendahului 2-0.
Bagaimanapun, arus permainan mula berpihak Kedah sebaik Fernandez dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Ronald Ngah Wanja pada minit ke-62.
Hasilnya, Fayadh berhasil merapatkan kedudukan pada minit ke-86 menerusi rembatan deras di depan gawang lawan.
Walaupun Makassar kehilangan seorang lagi pemain selepas Agung Mannan turut dilayangkan kad kuning kedua dalam waktu kecederaan, Kedah masih tidak menemui gol penyamaan, sekali gus terpaksa merelakan perjuangan mereka ternoktah setakat itu.
#piala afc #Kedah Darul Aman FC #PSM Makassar