SUKAN

Piala AFCON: Jurulatih Tunisia gesa ‘reset mental’ selepas aksi hambar peringkat kumpulan

Agensi 02/01/2026 | 22:40 MYT
Sami Trabelsi mengakui pasukannya gagal memenuhi jangkaan pada peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan menegaskan mereka perlu melakukan penyegaran semula mental bagi memastikan persembahan lebih konsisten. - Gambar Reuters
JURULATIH Tunisia, Sami Trabelsi mengakui pasukannya gagal memenuhi jangkaan pada peringkat kumpulan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan menegaskan mereka perlu melakukan penyegaran semula mental bagi memastikan persembahan lebih konsisten apabila berdepan Mali dalam pusingan 16 terbaik, hari ini.

Tunisia, juara edisi 2004, memulakan kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Uganda sebelum seri 1-1 menentang Tanzania dan tewas 3-2 kepada Nigeria.

Bagaimanapun, mereka masih layak ke pusingan kalah mati.

“Kami tidak berpuas hati dengan prestasi dan keputusan keseluruhan pasukan Tunisia dalam kejohanan ini. Insya-Allah, kami akan tunjuk wajah sebenar menentang Mali dan capai kejayaan,” kata Trabelsi pada sidang media, pada Jumaat.

Beliau menekankan aspek mental sebagai faktor penting menjelang perlawanan yang dijangka sengit.

“Mali adalah pasukan besar dengan pemain berkualiti tinggi dari segi teknikal dan fizikal. Perlawanan akan ditentukan oleh butiran kecil dan kesilapan, peluang tidak banyak. Yang paling penting, kami perlu memanfaatkannya,” jelasnya.

Trabelsi turut mengakui rasa tidak puas hati penyokong terhadap prestasi pasukan.

“Saya faham mengapa orang tidak gembira, tetapi kami tidaklah terlalu buruk. Kami layak ke pusingan 16, dan prestasi akan bertambah baik secara berperingkat,” katanya.

“Kadang-kadang anda bermain dengan baik tetapi tetap tersingkir. Yang paling penting adalah mara ke hadapan, dan kami berharap berjaya dari segi prestasi dan kelayakan.”

Pertahanan Yan Valery senada dengan jurulatihnya, menyatakan pasukan bersedia memulakan ‘kejohanan baharu’ di peringkat kalah mati.

“Kami sudah bersedia untuk aksi baik menentang Mali. Ini adalah permulaan baharu. Kami belajar daripada kesilapan di peringkat kumpulan dan jadikannya pengajaran,” katanya.

Valery turut menambah mereka mendapat sokongan padu penyokong Tunisia dan Maghribi, dan tekanan yang dihadapi adalah sebahagian daripada pengalaman sepanjang karier. - Agensi


#AFCON #jurulatih Tunisia #Sami Trabelsi #reset mental