Piala AFF: Hannah Yeoh perjelas isu kerusi kosong Stadium Bukit Jalil

Bernama
Januari 5, 2023 15:00 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hari ini menjelaskan bahawa 21,000 kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, hari ini menjelaskan bahawa 21,000 kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa.
Beliau berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan telah ditempah awal oleh pihak penganjur artis terkenal dari Taiwan, Jay Chou sejak Mac 2019, turut melibatkan jumlah kru yang ramai.
Justeru itu, beliau berharap peminat bola sepak dapat menerima hakikat adalah mustahil untuk mengubah situasi di stadium berkenaan bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.
"Saya telah dapatkan penjelasan (bahawa) kerja pemasangan ini melibatkan 14 hari melibatkan 500 kru,185 kru antarabangsa masuk ke Malaysia hanya untuk pemasangan, 45 jentera berat, 200 unit alat pembesar suara dan 800 unit lampu. Jadi ia bukan macam khemah pentas biasa yang mana kita boleh pasang (atau) buka sesuka hati.
"Jadi kedua-dua acara mempunyai penyokong yang cukup kuat. Jadi kita nak bagi semua sokongan pada Harimau Malaya, Sabtu ini, dan juga konsert yang telah di tempah lebih awal," katanya kepada Bernama, malam ini.
BACA: Piala AFF: Hanya 59,000 tiket dijual bagi aksi Thailand, harga kekal RM30
Semalam, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman memaklumkan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa dikosongkan kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.
Kekosongan 21,000 tempat duduk itu bagaimana pun mendapat kritikan daripada peminat bola sepak tanah air.

Makluman 1)Booking stadium konsert Jay Chou World Tour dibuat 13 Mac 2019 manakala AFF 2022 oleh FAM dibuat 18 Ogos 2022. 2)Konsert perlu 14 hari pasang pentas oleh 500 krew+185 krew antarabangsa, 45 jentera berat, 200 speaker & 800 lampu. Mereka dah delay 2.5hari bagi ruang AFF pic.twitter.com/45lV5dZLu5

— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) January 5, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Hannah berkata situasi sama kekal seandainya Malaysia layak ke pentas akhir dengan aksi final kedua dijadual berlangsung pada 16 Jan ini.
"Yang ni perbadanan (Perbadanan Stadium Malaysia) telah membuat usaha rancangan untuk tengok bagaimana kita nak tampung untuk semua...jadi itu (final) akan terus berjalan tetapi dalam keadaan macam sekarang di mana kawasan yang akan dihadang.
"...kerana lokasi yang paling sesuai untuk FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) adalah di sini (Stadium Nasional Bukit Jalil) kerana ada pengangkutan awam dan jumlah kerusi yang banyak dan ini adalah keadaan yang tak boleh dielakkan kerana (ada) tempahan yang lebih awal," katanya.
Konsert Jay Chou dijadual berlangsung pada 15 Jan ini.
-- BERNAMA
#Hannah Yeoh #Stadium Bukit Jalil #kerusi kosong #Piala AFF #PM10