Piala AFF: Thailand menang besar ke atas Myanmar

Bernama
Disember 11, 2021 16:33 MYT
Thailand yang menguasai keseluruhan permainan, mendapat jaringan awal selepas penyerangnya, Teerasil Dangda merembat masuk bola dari luar kotak penalti. - Gambar/ Facebook @AFF Suzuki Cup
KUALA LUMPUR: Thailand meneruskan aksi meyakinkan dalam Piala AFF 2020 hari ini dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Myanmar dalam perlawanan Kumpulan A, yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura, malam ini.
Thailand yang menguasai keseluruhan permainan, mendapat jaringan awal selepas penyerangnya, Teerasil Dangda merembat masuk bola dari luar kotak penalti hasil hantaran cantik Narubadin Weerawatnodom dari sebelah kanan padang pada minit ke-23.
Chanathip Songkrasin, kapten dan pemain penyerang tengah Thailand berpeluang menambah jaringan tetapi tendangan cedoknya mudah diselamatkan penjaga gawang Myanmar Myo Min Latt pada minit ke-36.
Pada babak kedua, skuad Gajah Perang mendapat gol kedua pada minit ke-53 selepas Teerasil menyempurnakan sepakan penalti setelah rakan sepasukan Manuel Bhir dijatuhkan pemain pertahanan Myanmar Hein Phyo Win.
Dua minit kemudian, Myanmar berpeluang untuk merapatkan jurang gol tetapi tendangan kaki kanan Lwin Moe Aung dari luar kotak penalti diselamatkan Chatchai Budprom.
Worachit Kanitsribumphen yang menggantikan Thanawat Suengchitthawon, memberikan impak selepas dua minit dimasukkan apabila rembatan kaki kanannya menerjah jaring untuk melebarkan jurang gol kepada 3-0 dalam minit ke-78.
Myanmar hampir-hampir mendapat gol sagu hati tetapi percubaan Win Naing Tun terkena palang gol pada minit ke-89 sebelum Supachok Sarachart menjaringkan gol keempat Thailand pada minit kecederaan bagi memastikan malam yang indah buat pasukannya yang kini menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan mengutip enam mata selepas dua perlawanan.
Sementara itu, Filipina memperoleh kemenangan sulungnya selepas membenam Timor-Leste 7-0 dalam satu lagi perlawanan terdahulu Kumpulan A di gelanggang yang sama hari ini.
Skuad The Azkal memulakan pesta golnya menerusi Martin Steuble pada minit ke-21 diikuti gol-gol daripada Amin Nazari (minit ke-31), Angel Guirado (minit ke-35), Patrick Reichelt (minit ke-40), Jesper Nylohm (minit ke-45), Bienvenido Maranon (minit ke-46) dan Kevin Ingreso (minit ke-78).
Tuan rumah Singapura yang tidak bermain hari ini berada di tangga kedua dengan enam mata diikuti Filipina di tempat ketiga (tiga mata), Myanmar (tiga mata) dan Timor-Leste masih di tangga terbawah tanpa sebarang mata.
Dalam perlawanan Kumpulan B esok, Laos akan berdepan Indonesia pad apukul 5.30 petang sementara pada pukul 8.30 malam Malaysia bertemu juara bertahan Vietnam yang menewaskannya pada final 2018.
-- BERNAMA
#Piala AFF #Thailand #Myanmar #kemenangan Thailand