BANGI: Kegembiraan atas kejayaan skuad Harimau Malaya yang mengesahkan slot ke Piala Asia 2023 selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh malam tadi masih berterusan.

Anak-anak buah Kim Pan-gon nampaknya menerima khabar gembira hari apabila berkemungkinan bakal menerima imbuhan sewajarnya daripada kerajaan sedikit masa lagi.

Dalam masa sama, badi kegagalan yang berjaya ditamatkan mereka selepas 43 tahun cukup memberi makna yang besar kepada pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengumumkan, kerajaan akan membincangkan imbuhan sewajarnya kepada skuad Harimau Malaya atas kejayaan yang dikecapi malam tadi.

"Segala bentuk imbuhan dan sebagainya kita akan bincangkan nanti bersama menteri berkenaan iaitu Menteri Belia dan Sukan kepada mereka," kata Ismail Sabri kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Ahli Parlimen Belia di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Perdana Menteri sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih atas semangat juang yang dipamerkan oleh semua pemain ketika menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan malam tadi.

Ismail Sabri juga menghargai dan berterima kasih kepada semua penyokong Malaysia terutamanya Ultras Malaya yang telah membantu skuad negara menerusi sokongan yang menakjubkan.

Beliau berharap momentum kejayaan dan sokongan yang ditunjukkan itu akan dikekalkan ketika mengharungi cabaran seterusnya untuk terus merekodkan kemenangan selepas ini.