DOHA: Kejohanan Piala Asia 2023 melakar rekod baharu dengan jumlah kehadiran 1.06 juta peminat bola sepak apabila 63,753 penonton menyaksikan kemenangan juara bertahan Qatar 2-1 menentang Palestin pada pertembungan pusingan 16 di Stadium Al Bayt di Al Khor, malam ini (awal pagi waktu Malaysia).

Angka menakjubkan itu mengatasi rekod kehadiran sebelum ini iaitu 1.04 juta yang dicatatkan semasa edisi 2004 di China.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John berkata sejak awal lagi, sudah jelas bahawa edisi Piala Asia ke-18 di sini bakal menjadi edisi paling mudah diakses dan menarik dalam sejarah kejohanan itu.

"Bola sepak mempunyai kuasa yang tidak disangkal lagi dalam menyatukan masyarakat dan tiada tempat selain Qatar menjadi pentas paling berprestij di Asia. Pencapaian ini ialah satu penghormatan kepada peminat yang penuh semangat dan rakan daripada Persatuan Bolasepak Qatar dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) Piala Asia 2023.

"AFC ingin merakamkan ucapan terima kasih yang amat mendalam kepada semua pihak berkepentingan dan rakyat Qatar atas layanan dan keramahan mereka yang tiada tandingan," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LOC Piala Asia 2023 Jassim Al Jassim berkata kehadiran penonton yang memecahkan rekod itu ialah bukti keupayaan Qatar menjadi tuan rumah acara sukan berkelas dunia.

"Sekali lagi, Qatar telah mengesahkan tempatnya sebagai ibu negara sukan global. Infrastruktur moden dan pengalaman operasi membolehkan kami memberikan satu lagi kejohanan yang mudah diakses dan menarik dari segi budaya ke standard tertinggi.

"Kami gembira dapat mencatat rekod seawal ini dalam kejohanan. Berbaki 11 lagi perlawanan, ia bakal menawarkan aksi menarik dengan banyak pasukan mempamerkan persembahan luar biasa," katanya.

Selepas 40 perlawanan, Piala Asia 2023 yang turut melepasi penglibatan digital sebanyak 1.5 bilion baru-baru ini, kini berada di kedudukan kedua dalam carta purata kehadiran dengan 26,672 peminat datang menyaksikan setiap perlawanan.

Pencapaian terbaharu itu merupakan kejayaan kali kedua di Qatar dari segi kehadiran selepas 82,490 penonton menempa rekod baharu pada perlawanan pembukaan dalam sejarah Piala Asia apabila tuan rumah menewaskan Lubnan 3-0 di Stadium Lusail pada 12 Jan.

-- BERNAMA