SUKAN
Piala Asia 2025: Speedy Tigers tewaskan China di pusingan 'super four'

Skuad negara melakar kemenangan dalam perlawanan pertama 'Super Four' pada Kejohanan Hoki Piala Asia 2025 di Bihar, India dengan menewaskan China 2-0 pada Rabu. -- Foto Malaysia Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad negara melakar kemenangan dalam perlawanan pertama 'Super Four' pada Kejohanan Hoki Piala Asia 2025 di Bihar, India dengan menewaskan China 2-0 semalam.
Dalam aksi di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar itu, kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal memecah kebuntuan untuk mencipta gol pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan Malaysia selesa mendahului selepas menyempurnakan jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-45.
Di suku terakhir permainan, Malaysia berjaya menambah satu gol padang menerusi Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-47 sekali gus mengesahkan kemenangan skuad Speedy Tigers.Kemenangan itu meletakkan anak buah Sarjit Singh setakat ini berada di kedudukan teratas dengan tiga mata, seterusnya tuan rumah India berdepan Korea Selatan pada perlawanan kedua pusingan Super Four semalam.
Malaysia dijadualkan bertemu India hari ini dan perlawanan terakhir pusingan itu menentang Korea Selatan dua hari kemudian dalam usaha memburu slot ke final.
Dua pasukan terbaik di pusingan Super Four layak ke final kejohanan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami