[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
SPORTS

Piala Asia ASTAF 2025 peluang Khairul Aman bukti bukan lagi 'budak hingusan'

Astro Arena 01/05/2025 | 14:47 MYT
Khairul Aman diharap akan memanfaatkan pengalamannya yang beraksi di pentas Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) musim lalu sebaik mungkin. - StadiumAstro
KETUA jurulatih skuad sepak takraw Malaysia B, Mohd Futra Abdul Ghani, mempercayai bahawa perejam muda negara, Khairul Aman Mohd Rosdi, bukan lagi 'budak hingusan', meskipun bakal melakukan penampilan sulung bersama skuad negara di Kejohanan Piala Asia ASTAF 2025.
Futra berharap perejam kelahiran Kemaman, Terengganu itu akan memanfaatkan pengalamannya yang beraksi di pentas Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) musim lalu sebaik mungkin untuk menampung tekanan tinggi yang bakal dilaluinya di Stadium Titiwangsa pada 10 Mei minggu depan.
Selain itu, dia juga turut mengakui, keistimewaan Khairul Aman yang memiliki kekuatan libasan 'gulung dan maniam' mampu menjadi senjata utama skuad kendalian Ahmad Jais Baharun, yang akan berdepan misi muncul juara terutamanya di dalam acara regu dan doubles.
"Zaman saya memang terkenal dengan pukulan maniam, tetapi Khairul punyai gulung sebagai kegemaran. Saya tidak menghalang mana-mana pemain untuk gulung atau maniam jika itu memberikan mata kepada pasukan.
"Tetapi yang penting menguasai kedua-dua rejaman itu sangat penting agar jika gulung kena sekat, maka dia boleh guna satu lagi rejaman untuk kelirukan lawan.
"Ambil peluang ini buat Khairul, saya tak rasa dia budak hingusan di pentas antarbangsa, ini peluang buat dia buktikan dia setanding Azlan Alias." katanya.
Manakala, seorang lagi debut bersama skuad senior kebangsaan adalah perejam muda berasal dari Kuala Lumpur, Redwan Hakim, yang tampak bersemangat dalam persiapan ke Piala Malaysia.
Menariknya, nama Redwan telah tersenarai untuk berada di Piala Dunia 2025 di Bihar, India pada tempoh hari, tetapi digugurkan selepas Redwan mengalami kecederaan seminggu sebelum kejohanan berlangsung.
Bagi Redwan, sebagai perejam muda yang ada di dalam skuad, ianya sudah menjadi tanggungjawab untuk dirinya cuba merebut tempat beraksi dan memberikan persaingan sihat kepada seniornya.
Redwan juga menjadikan Azlan Alias sebagai idola dalam kariernya, kerana Azlan adalah salah seorang mentor skuad kebangsaan dengan banyak input yang baik untuk di implementasi perjalanan kariernya.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
#khairul aman mohd rosdi #skuad negara #sepak takraw #piasa asia astaf 2025