SUKAN

Piala Dunia E-Sukan 2026 di Riyadh tawar hadiah AS$75 juta

Bernama 21/01/2026 | 23:10 MYT
Lebih 2,000 pemain dan 200 kelab dari lebih 100 negara serta wilayah akan bersaing dalam 24 permainan selama tujuh minggu bagi merebut gelaran Juara Kelab Piala Dunia E-sukan. - Foto X/@DigitaleeSports
RIYADH: Yayasan Piala Dunia E-Sukan (EWCF) mengumumkan pada Selasa penganjuran Piala Dunia E-Sukan 2026 (EWC), acara e-sukan terbesar di dunia, yang bakal kembali berlangsung di Riyadh dari 6 Julai hingga 23 Ogos dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai AS$75 juta, lapor Xinhua.

Lebih 2,000 pemain dan 200 kelab dari lebih 100 negara serta wilayah akan bersaing dalam 24 permainan selama tujuh minggu bagi merebut gelaran Juara Kelab Piala Dunia E-sukan.

Pada 2026, Kejohanan Kelab EWC yang merupakan pertandingan rentas permainan utama EWC, akan menawarkan hadiah AS$30 juta kepada 24 kelab terbaik, peningkatan sebanyak AS$3 juta berbanding tahun sebelumnya.

Kelab yang muncul juara akan menerima AS$7 juta, manakala baki peruntukan hadiah akan diagihkan kepada kedudukan terbaik yang lain.

Fortnite dan Trackmania merupakan antara penambahan baharu dalam EWC kali ini.

Senarai penuh permainan yang dipertandingkan ialah: Apex Legends, Call of Duty: Black Ops 7, Call of Duty: Warzone, Catur, Counter-Strike 2, Crossfire, Dota 2, EA Sports FC 26, FATAL FURY: City of the Wolves, Fortnite, Free Fire, Honor of Kings, League of Legends, Mobile Legends: Bang Bang, Overwatch 2, PUBG: Battlegrounds, PUBG Mobile, Rocket League, Street Fighter 6, Teamfight Tactics, TEKKEN 8, Tom Clancy's Rainbow Six Siege X, Trackmania, dan VALORANT.

-- BERNAMA






#Piala Dunia #e-sukan #Riyadh