DOHA: Reka bentuk Stadium Lusail, venue perlawanan akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 pada 18 Dis, memaparkan ciri-ciri Islam-Arab yang menonjolkan motif dan elemen dari zaman kegemilangan ekspresi artistik dunia Islam.

Menurut agensi berita Qatar (QNA), Pengurus Operasi, Tamin El Abed, dalam temu bual dengan Qatar2022.qa, berkata Stadium Lusail yang terletak 20km dari ibu negara Doha direka bentuk untuk mereplikasi tanglung 'fanar'. Reka bentuk futuristiknya diilhamkan oleh interaksi cahaya dan bayang-bayang.

"Norman Foster, arkitek utama pembinaan stadium itu, mempelajari barangan antik Islam yang diukir tangan dan menggabungkan pasu emas dan tanglung fanar ke dalam reka bentuk stadium, venue indah yang kita lihat hari ini," kata El Abed.

Mengenai legasi bahawa stadium akan terbiar selepas tirai Piala Dunia FIFA 2022 Qatar dilabuhkan, El Abed berkata beberapa idea sedang dikaji untuk memanfaatkan ruang dalaman stadium selepas kejohanan, termasuk mengubahnya menjadi hab komuniti dengan kemudahan awam, termasuk unit rumah mampu milik, kedai, sekolah, kafe, kemudahan sukan dan klinik perubatan, lapor QNA.

Bahagian atas stadium akan dibangunkan semula sebagai teres luar untuk rumah baharu. Bahan binaan yang ditanggalkan, akan didermakan kepada negara yang memerlukan infrastruktur sukan.

Kelestariannya merupakan ciri penting dalam proses pembinaan, dan Stadium Lusail baru-baru ini menerima penarafan lima bintang daripada Sistem Penilaian Kelestarian Global.

Ciri kelestariannya yang paling ketara ialah bumbung arena, yang diperbuat daripada bahan tercanggih yang dipanggil Politetrafluoroetilena (PTFE) yang melindungi venue daripada angin panas, habuk dan membolehkan cahaya yang mencukupi untuk memasuki padang, di samping menyediakan teduhan.

Beliau berkata ciri kelestarian lain ialah pemasangan perkakasan cekap air dan sistem pengesan kebocoran yang beroperasi dalam stadium. Selain itu, tapak pembinaan menjimatkan air bersih 40 peratus lebih banyak berbanding pembangunan stadium konvensional.

Projek Stadium Lusail diuruskan oleh TiME Qatar manakala HBK Contracting Co. WLL dan China Railway Construction Corporation Limited ialah kontraktor projek utama.

Bagi Piala Dunia FIFA, Stadium Lusail akan jadi tuan rumah kepada 10 perlawanan, termasuk perlawanan akhir - Argentina lwn Arab Saudi (Kumpulan C), Brazil lwn Serbia (Kumpulan G), Argentina lwn Mexico (Kumpulan C), Portugal lwn Uruguay (Kumpulan H), Arab Saudi lwn Mexico (Kumpulan C), Cameroon lwn Brazil (Kumpulan G), Pusingan 16, perlawanan Suku akhir, perlawanan Separuh akhir, dan Akhir.

-- BERNAMA