SUKAN
Piala Dunia Kelab: Sepakan percuma Messi pacu kebangkitan Inter Miami
Lionel Messi menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan Piala Dunia Kelab kumpulan A antara Inter Miami dan FC Porto di Atlanta, 19 Jun 2025. (Foto AP)
INTER MIAMI 2-1 PORTO
Lionel Messi mengetuai kebangkitan Inter Miami selepas menewaskan Porto 2-1 dalam saingan Piala Dunia Kelab 2025 di Stadium Mercedes Benz, awal pagi tadi.
Miami bergelut dalam separuh masa pertama, namun dua gol pantas dalam babak kedua membantu mereka memperoleh kemenangan pertama dalam kejohanan itu.
Porto mendahulu terlebih dahulu seawal minit kelapan selepas kekasaran yang dilakukan Noah Allen terhadap Joao Mario dalam kotak penalti dengan pengadil mengesahkan perkara itu selepas melihat Video Bantuan Pengadil (VAR), dan ketenangan Samu Aghehowa meletakkan pasukannya mendahului 1-0.
Begitupun, Telasco Segovia menyamakan kedudukan pada minit ke-47 selepas kesilapan mudah dilakukan pertahanan pasukan Porto.
Kebangkitan itu dilengkapkan dengan sepakan percuma daripada Messi pada minit ke-54 untuk menewaskan Claudio Ramos sekali gus memastikan Miami meraih tiga mata penuh.
Untuk rekod, Messi telah menjaringkan 68 gol menerusi sepakan percuma untuk kelab dan negara setakat ini.