SUKAN
Piala Dunia Kelab: Tiada Mbappe, tiada masalah buat Real Madrid tewaskan Pachuca 3-1
Dua gol di separuh masa pertama melalui Jude Bellingham (kiri) dan Arda Guler (kanan) sudah cukup memberikan keyakinan kepada Real Madrid biarpun terpaksa bermain 10 orang. - Foto Astro ARENA
INI adalah kemenangan pertama Xabi Alonso bersama Real Madrid selepas menewaskan Pachuca 3-1 dalam perlawanan Kumpulan H Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.
Selepas gagal mempertahankan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Los Blancos tekad mara ke pusingan seterusnya kejohanan berprestij itu bagi memburu kejuaraan pertama menjelang musim baharu LaLiga.
Meskipun tanpa pemain kebangsaan Perancis, Kyllian Mbappe, wakil Sepanyol itu tetap berhasil mencatatkan keputusan positif menerusi kepercayaan yang diberikan kepada Gonzalo Garcia.
Dua gol di separuh masa pertama melalui Jude Bellingham dan Arda Guler sudah cukup memberikan keyakinan kepada Real Madrid biarpun terpaksa bermain 10 orang ekoran layangan kad merah yang dikenakan kepada Raul Asencio.
Pachua dari Mexico gagal memanfaatkan sebarang peluang, sebaliknya menjadi mangsa kelaparan kelab terkaya dunia itu, sekali gus tersingkir daripada pertandingan tersebut.
Ketua pasukan, Federico Valverde, melengkapkan kemenangan pertama Real Madrid sebagai tonik terbaik menghadapi aksi terakhir kumpulan menentang Salzburg.